KITA dikejutkan dengan berita seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas kira-kira 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, Kuala Lumpur. Ibu mangsa tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu dalam kereta kerana menyangka telah menghantar ke taska.
Sejalur kisah ini, seorang ibu menyimbah air panas ke anak kandungnya sendiri kerana menghabiskan data internet telefon pintar miliknya. Pelbagai lagi kisah terhidang dan terselindung di sebalik rencam meniti kehidupan oleh wanita di negara ini, sama ada sebagai seorang sumber manusia kepada sesebuah organisasi mahupun majikan atau sebagai pengurus rumah tangga dan isi rumah.
Golongan wanita negara ini berjaya ditingkatkan pencapaian akademik dan kepakaran malah menurut data, keadaan ekonomi yang semakin berkembang selepas era pandemik mencatatkan 5.87 juta pekerja wanita pada 2021 dan meningkat kepada enam juta pada suku pertama 2022.
Meneliti berkaitan wanita, Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma menyatakan, segala inisiatif kerajaan memulihkan ekonomi negara agar dapat memperkasa dan melindungi daya ketahanan wanita dalam keadaan mencabar ini.
Sumbangan wanita dalam membangunkan serta memajukan negara amat signifikan dalam usaha meletakkan golongan ini untuk mencapai sasaran 30 peratus dalam pembuat dasar.
Era tradisional berkaitan wanita dan simbolisme sebagai penghias rumah tangga telah lama dibawa angin perubahan. Wanita hari ini bukan sahaja tulang belakang negara, tetapi juga komponen penting dalam mewariskan generasi negara dengan iltizam dan budaya bijaksana. Oleh demikian, wanita kini adalah golongan yang menyumbangkan kebijaksanaannya bukan sahaja untuk manfaat dirinya tetapi juga kepada keluarga, organisasi dan negara.
Data terkini dikongsikan, negara amat memerlukan golongan wanita khususnya dalam sektor pendidikan, kemahiran dan kesihatan. Ketiga-tiga bidang ini memberikan impak kepada negara yang lestari menjangkau masa depan. Menelusuri kehidupan mencabar era kini, sudah tentu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Demikianlah senario wanita, sebagai insan biasa, kami akui tetap berdepan dengan cabaran untuk menguruskan komitmen dan fokus kepada kerjaya malah turut berusaha mengimbangi tanggungjawab sebagai anak perempuan kepada keluarga diuruskannya, isteri dan juga ibu kepada anak-anak. Kesemua ini sebagai faktor yang boleh menyebabkan terjejasnya kualiti mental seseorang wanita.
Menurut laporan, dalam keadaan tertentu, individu mengalami perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Hal demikian ini perlulah disedari oleh kita semua kepada setiap diri individu sama ada dalam keluarga mahupun organisasi.
PENYAKIT UTAMA
Kajian pemantauan penyakit oleh Kementerian Kesihatan pada 1996 mendapati hampir 11.1 peratus daripada golongan dewasa di negara ini dikesan mengalami penyakit mental. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada 2020 akan menjadi penyebab kedua tertinggi.
Tekanan boleh menjadi faktor terjejasnya kesejahteraan mental seseorang. Tumpuan pemikiran kepada hal tidak enak dilalui sehari-hari sentiasa sahaja bermain dan menakluk minda dan pemikiran, boleh mengatasi memori. Stres turut menjadi faktor minda dan pemikiran seseorang bercampur aduk dan akibatnya mempengaruhi tingkah laku serta perbuatan terhadap sesuatu perkara.
Minda yang hanya fokus kepada isu menyebabkan stres akan mengakibatkan seseorang boleh melupakan perkara lain dengan meninggalkan isu-isu penting lainnya. Sesetengah situasi sudah tentu menjadi amat parah jika tekanan terus sahaja menguasai seluruh psikologi seseorang, menghalang otak menguruskan saraf-sarafnya kepada hal wajar.
Pemikiran bawah sedar dalam psikologi merujuk kepada kesemua proses fikiran di luar kesedaran. Pengetahuan mengenai cara mengatasi tekanan hidup adalah penting tidak hanya kepada diri sendiri tetapi juga individu disayangi. Terapi minda adalah satu daripada cara berkesan yang boleh membantu mengawal dan mengatasi tekanan perasaan.
Teori Penekanan dicadangkan oleh Freud menyatakan, sesetengah pengalaman adalah menyakitkan untuk diingat, lalu minda akan mengarahkannya supaya ia disimpan di dalam sebuah ‘gudang’, iaitu minda separa sedar.
Carl Gustaz Jung yang turut merungkai berkenaan minda separa sedar membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu individu dan kumpulan. Menurutnya, minda separa sedar individu adalah tempat menakung maklumat pernah dirakamkan oleh minda, tetapi dilupakan. Minda separa sedar kumpulan pula mengandungi pengalaman lepas yang masih tertanam dalam minda.
Kempen Bulan Kaunseling Kebangsaan setiap tahun adalah langkah penting dalam mengatasi stigma dan stereotaip yang masih wujud sekitar isu-isu kesihatan mental. Persoalannya, cukupkah pengetahuan masyarakat tentang peranan kaunselor dan faedah perkhidmatan kaunseling sedia ada? Setakat mana kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap isu-isu kesihatan mental dan kesejahteraan kendiri? Adakah kita melihat isu-isu kesihatan mental secara mata kasar tanpa menyelami faktor-faktor yang mempengaruhi kepada tahap kesihatan mental?
Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2023 dengan tema Minda Madani, Masyarakat Harmoni adalah satu inisiatif yang sangat penting dalam mengatasi isu-isu kesihatan mental di Malaysia. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kaunseling dan pemahaman tentang isu-isu kesihatan mental serta kesejahteraan diri.
Perkhidmatan psikososial dengan cara inovatif adalah kaedah untuk memperluaskan aksesibiliti perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat setempat di seluruh negara. Perkhidmatan telekaunseling yang beroperasi 24 jam sehari adalah langkah sangat penting untuk memudahkan masyarakat mendapatkan bantuan kaunseling pada bila-bila masa. Kesedaran dan sokongan kepada individu yang memerlukan bantuan kaunseling dan sokongan untuk meningkatkan kesejahteraan mental mereka.
Langkah pertama sekarang, ayuh semak diri masing-masing, sejahterakah mental kita? Ayuh ke arah mental sejahtera agar dapat meniti kehidupan lebih cemerlang! – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia.
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka.










