Integriti bukan dari lensa partisanship

Integriti bukan dari lensa partisanship

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INTEGRITI adalah satu kumpulan sifat-sifat baik yang membentuk keperibadian mulia. Ia adalah kualiti bersikap jujur dan mempunyai prinsip moral yang kukuh.

Ia tidak diperoleh dengan satu perbuatan tetapi ia adalah keseluruhan perkara-perkara baik yang dilakukan sepanjang hayat seorang manusia.

Keperibadian mulia inilah yang menjadi asas untuk membina sebuah negara bangsa sejahtera dan makmur.

Dalam sistem politik, integriti merupakan asas kepada tiang-tiang demokrasi, keadilan dan kesaksamaan yang membentuk masa depan negara kita. Integriti politik juga bukan sekadar slogan, ia adalah komitmen kepada standard tinggi tingkah laku dan kesopanan dalam menjalankan tugas rasmi.

Pemimpin harus laksanakan apa yang dikatakan dan tindakan mencerminkan kata-katanya. Apabila integriti politik dikompromikan, kesan gelombangnya akan dirasai di seluruh lapisan masyarakat. Kepercayaan awam merosot, hubungan sosial semakin lemah dan asas pembentukan negara kita sendiri akan mula reput.

Bagaimanapun harus kita akui, cabaran terbesar adalah mendapatkan konsensus standard integriti. Landskap politik kita telah menjadi begitu berpecah belah sehingga idea integriti dilihat melalui lensa partisanship.

Apa yang satu pihak lihat sebagai tindakan integriti, pihak lain melihatnya sebagai gerakan politik. Ini menjadikannya sukar untuk menetapkan standard universal yang diterima oleh semua.

Walaupun kita bersetuju mengenai apa yang dianggap sebagai konsensus integriti, siapakah atau apakah yang akan menjadi hakim? Bagaimana kita memastikan standard ini diterapkan secara seragam tanpa pilih kasih atau prasangka?

Isu pelaksanaan dan pengawasan ini sangat kompleks kerana ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Masing-masing dengan kepentingan dan agenda mereka sendiri. Untuk mencapai konsensus standard integriti, saluran dialog harus dibuka kepada semua spektrum politik bagi menetapkan satu set standard universal untuk integriti politik.

Dialog secara berterusan ini memerlukan komitmen daripada semua pihak untuk mengetepikan perbezaan mereka dan bekerja menuju matlamat bersama. Perkara kedua untuk mencapai standard integriti ialah ketelusan. Ia adalah kunci kepada tadbir urus yang baik.

Proses penetapan standard ini juga tidak harus terhad kepada pengawasan awam sahaja tetapi diperluaskan kepada pelaksanaan dan pengawasan. Ini bermakna tindakan ahli-ahli politik harus terbuka kepada pengawasan, keputusan mereka tertakluk kepada semakan dan tingkah laku mereka boleh dipertanggungjawabkan kepada umum.

Justeru, saya mencadangkan penubuhan sebuah badan pengawasan bebas diberi kuasa untuk melaksanakan audit dan semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik, memastikan mereka mematuhi standard telah dipersetujui dan diterima umum.

Badan ini dianggotai oleh individu-individu mempunyai watak tidak tercalar dan kelayakan yang tidak dapat dipertikaikan termasuk mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pembetulan dalam kes di mana standard ini dilanggar.

Namun harus kita akui, peranan dan usaha agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). SPRM menguatkuasa dan membanteras rasuah manakala IIM memperkasa nilai integriti dalam negara. Agensi-agensi ini perlu diperkasakan lagi.

KECERDASAN BUATAN

Dalam masa sama, teknologi menawarkan kita peluang yang belum pernah ada sebelum ini dalam usaha meningkatkan integriti politik. Dari sistem berasaskan blockchain yang memastikan transaksi kewangan yang telus hingga algoritma bertenaga AI (kecerdasan buatan) yang dapat mengesan corak rasuah, teknologi boleh menjadi sekutu kuat dalam perjuangan kita melawan rasuah.

Namun, teknologi juga menimbulkan risiko. Peningkatan deepfakes, penyebaran maklumat palsu dan serangan siber boleh merosakkan usaha kita untuk memperkukuhkan integriti politik.

Oleh itu, kita juga harus berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko ini.

Usaha untuk memberi kesedaran dan membentuk masyarakat berintegriti sentiasa menjadi keutamaan kerajaan sejak dahulu sehingga hari ini.

Langkah pertama ketika saya mengambil alih kerajaan adalah menandatangani Perjanjian Persefahaman dan Kestabilan (CSA) di antara kerajaan dan pembangkang utama, Pakatan Harapan (PH) bagi mewujudkan kestabilan politik.

Perjanjian tersebut membantu kerajaan menggubal undang-undang bagi meningkatkan integriti ahli Parlimen dengan meluluskan Akta Anti Lompat Parti.

Pada ketika itu juga, kita dalam proses untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik. Akta ini sangat penting untuk parti politik mengumpul dana bagi membiayai pengurusan parti dan kempen pilihan raya.

Parti politik tidak boleh berniaga. Jadi, bagaimana ia mendapatkan dana untuk membiayai segala perjalanan parti?

Malah undang-undang yang ada sekarang boleh menyebabkan ahli politik disabitkan dengan kesalahan jenayah walaupun mengumpul sumbangan terus ke dalam akaun parti. Keadaan di Malaysia pada hari ini agak mengelirukan. Tidak seperti beberapa negara lain. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, parti politik diberikan ruang untuk mengumpul sumbangan berdasarkan undang-undang ditetapkan.

Sumbangan tersebut diisytihar dan boleh disemak oleh sesiapa sahaja. Ada ketelusan.

Saya berharap penggubalan RUU Pendanaan Politik ini diteruskan oleh kerajaan hari ini kerana ia akan menjamin ketelusan dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap ahli serta parti politik.

Saya juga menyambut baik komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan Pelan Integriti dan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam sebagai panduan tadbir urus bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Saya percaya, melalui dasar-dasar berterusan, hasrat kerajaan mencapai kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun akan tercapai biarpun sasaran tersebut agak tinggi.

Nilai integriti dan tatakelola yang baik ini harus dijadikan sebagai satu budaya dalam setiap lapisan masyarakat demi kelestarian negara.

Pun begitu seperti yang disebut pada awal artikel ini, integriti adalah satu set sifat-sifat baik untuk keperibadian mulia. Ia harus diamalkan dalam diri setiap individu. Usaha, kempen dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan hanyalah pemangkin kerana semuanya bermula dari dalam diri kita sendiri. – UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×