BEKAS Ketua Pengarah Kesihatan, TAN SRI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH merupakan antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan akibat ancaman Covid-19.
Walaupun sudah bersara wajib pada April lalu selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam, kepakaran dan perkhidmatannya masih diperlukan sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.
Menerusi wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID dibantu jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR, Noor Hisham yang kini merupakan Pakar Perunding di Institut Endokrin Hospital Putrajaya bukan sahaja berkongsi visi dan misi dalam mengangkat institut endokrin tetapi mengemukakan cadangan dalam memperkasakan sektor kesihatan negara.
UTUSAN: Peranan Institut Endokrin?
NOOR HISHAM: Kita ada pasukan lengkap merawat penyakit-penyakit kelenjar. Pasukan ini menjalankan pengesanan ketumbuhan ataupun kelenjar yang mengeluarkan hormon berlebihan untuk dirawat bermula dengan perubatan dan pembedahan jika perlu.
Institut ini merupakan pusat rujukan apabila doktor tidak dapat merawat di klinik kesihatan, hospital negeri atau hospital besar terutama kes-kes rumit.
Adakah masalah endokrin menjadi kebimbangan?
Ada kebimbangan macam ketumbuhan tiroid. Kes berkaitan endokrin agak banyak, iaitu 622 kes antara 2018 hingga 2020. Kerana itu kita ada klinik endokrin dan juga klinik payudara.
Amat penting kesedaran dan pengesanan awal, ia boleh dirawat sebaik mungkin. Kalau kita dapat kesan ketumbuhan satu sentimeter bermakna jumlah sel kanser sudah lebih kurang sejuta.
Ini pentingnya lakukan mamogram untuk mengesan sel kanser payudara peringkat awal.
Kenapa buat keputusan kembali berkhidmat selepas bersara?
Semasa KP (Ketua Pengarah) saya berkhidmat di klinik payudara endokrin setiap Selasa lebih 10 tahun.
Semasa Timbalan KP, setiap minggu berada di klinik pada Selasa dan satu hari untuk pembedahan. Ini bukan amalan baharu tetapi sudah 16 tahun, mungkin ramai yang tak maklum.
Adakah kewujudan institut ini melambangkan satu lagi kejayaan sistem kesihatan negara?
Perancangan ini lebih 10 tahun dan baru siap dua tahun lepas. Tapi ketika itu tak cukup staf dan sebagainya. Kita dah pindah masuk klinik tapi dewan bedah, ICU (unit rawatan rapi) tak buka lagi. Kini dah buka sepenuhnya.
Kewujudan institusi ini merupakan inisiatif berpasukan, memang perancangan kita dari awal lagi. Ya, kita ada institusi jantung. Jadi, kita perlu ada pusat rujukan untuk kes-kes rumit berkaitan endokrin.
Perkhidmatan Tan Sri masih banyak diperlukan seperti terkini dilantik sebagai Canselor Universiti Cyberjaya (UoC), komen?
Saya bersara sebagai penjawat awam, bukan bermakna sudah berhenti kerja. Kini saya memegang lima jawatan di peringkat antarabangsa. Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membincangkan tentang kecemasan kesihatan dalam dunia. Salah satu usul ialah menasihatkan WHO untuk tamatkan pandemik Covid-19 walaupun virus masih ada.
Pada 2020 terpaksa umumkan (pandemik) dengan mengambil kira tiga faktor – kadar penularan amat tinggi, kadar kematian dan juga impak ekonomi. Akan tetapi apabila kes kematian semakin berkurangan dan impak ekonomi setiap negara amat tinggi walaupun virus masih menular, Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) syorkan WHO untuk tamatkan pandemik Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) pada 5 Mei 2023. Itulah tugas SCHEPPR untuk menasihati WHO dan tugas saya sebagai Pengerusi SCHEPPR.
Selepas pencen, saya dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kesihatan Sejagat WHO di Manila bagi rantau Pasifik untuk tiga tahun.
Keempat, saya merupakan Ahli Lembaga Inisiatif Dadah untuk Penyakit Terabai (DNDi) di Geneva dan hampir tahun kesembilan melihat penyelidikan ubat-ubatan baharu dan kelima merupakan Ahli Majlis Lembaga Persatuan Pakar Bedah Sedunia.
Pada 2019, saya dijemput memberi syarahan perdana Martin Allgower di Krakow, Poland. Ini adalah penghormatan kepada pakar bedah untuk memberi syarahan perdana.
Saya juga Canselor UoC. Saya menerima tawaran ini kerana melihat visi dan misi mereka untuk memajukan bidang perubatan bukan sahaja di Malaysia tetapi rantau Asia Pasifik. Kebetulan saya juga penasihat teknikal di rantau Asia Pasifik, ini dapat membantu Malaysia sebagai hab pendidikan perubatan dengan sasaran meningkatkan lebih 30 peratus pelajar asing.
Saya juga dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI. Mereka pun ada hospital dan perlukan kepimpinan untuk bangunkan hospital tersebut.
Mungkin sudah sampai masanya untuk lihat bagaimana hospital awam dan swasta boleh bekerjasama bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Saya mungkin sudah pencen dari sektor awam tapi untuk sektor swasta, saya baru nak mula kerjaya dan yang pasti masih boleh kongsikan kepakaran dan pengalaman.
Sejauh mana kebenaran ancaman penyakit X?
Sebenarnya penyakit X yang dimaksudkan adalah jika ada penyakit pada masa akan datang. Selama ini orang ingat penyakit X adalah penyakit baharu yang sudah dikesan. X itu cuma lambang penyakit akan datang. Itu ada sedikit salah faham.
Tak perlu ada kerisauan?
Hanya apa yang kita perlu laksanakan selepas pandemik ialah untuk tingkatkan usaha pencegahan dan kesiapsiagaan serta respons. Kalau ada pandemik di masa depan, sekurang-kurangnya kita sudah ada kesiapsagaan. Setakat ini penyakit X tak ada!
Adakah kita berupaya mengeluarkan vaksin sendiri?
Setakat ini kita ada perancangan tetapi belum terlaksana pengeluaran vaksin tempatan dan perkara ini di bawah MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Kita harap suatu hari nanti kita dapat keluarkan vaksin untuk keperluan sendiri.
Betul ke dakwaan wujud strategi dunia mencipta penyakit demi lariskan vaksin?
Tiada orang nak cari penyakit. WHO pun bukan satu badan yang mencipta penyakit. Penyakit sentiasa ada dari dulu hingga kini, ia bukan dirancang. Virus sentiasa berubah dan bermutasi.
Bakteria pun mula menjadi rintangan kepada antibiotik yang digunakan dan kita bimbang kerintangan terhadap antibiotik di mana antibiotik sudah tidak berkesan. Antibiotik yang kita guna adalah hampir barisan terakhir. Itu kebimbangan kita sekarang jika antibiotik sudah tidak berkesan, bakteria akan merebak.
Bagaimana Tan Sri melihat dokumen Kertas Putih Kesihatan dalam jangka masa panjang?
Hampir 40 tahun berbincang hal ini, yang penting pada akhirnya mesti ada kuasa politik dan komitmen tinggi untuk laksanakan. Kita dah banyak menerima cadangan daripada kajian Harvard, McKenzie, Carol dan bermacam lagi tetapi kita perlukan pelaksanaan untuk menambah baik sistem kesihatan negara.
Cadangan mengenai Belanjawan 2024?
Kementerian Kesihatan masih mengharapkan pertambahan bajet kesihatan. Sepatutnya kita punya peningkatan sekurang-kurangnya empat peratus (RM60 bilion) bagi sektor awam untuk kesihatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam negara kita sekarang ini 4.3 dengan 2.2 peratus dari sektor awam dan 2.1 peratus lagi swasta. Kita minta untuk selaraskan peruntukan seperti negara lain dalam enam peratus.
Peruntukan tahun lepas RM36.3 bilion, jadi kalau boleh dinaikkan sampai RM40 bilion, tidaklah secara mendadak ke RM60 bilion. Naik secara berperingkat, barulah boleh perkasakan sektor kesihatan. – UTUSAN










