RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan tanggungjawab seorang Muslim untuk membetulkan kepincangan, kemaksiatan dan perkara-perkara buruk yang berlaku di hadapannya.
Tugas ini pula berkait dengan tahap keimanan seseorang. Makin kuat iman, makin tegas dia menghalang dan memerangi maksiat dan kemungkaran.
Dalam menjalankan tugas ini, ia lebih sukar dibuat semasa seseorang itu berada atau memegang kuasa. Ini yang disebut pendekatan top to bottom (atas ke bawah) dalam struktur pengurusan organisasi.
Sebab itu, kita mengalu-alukan ucapan tegas bagi membanteras kemungkaran oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam Majlis Amanat Pengarah JSJ di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Pelantikan beliau ke jawatan itu berkuat kuasa 30 Ogos lalu.
Ketegasan beliau dalam memastikan pegawai-pegawai JSJ menjalankan tugas dengan jujur dan bertanggungjawab memang tepat.
Pertama, itulah ucapan sulung beliau kepada Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KJSJ) dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.
Kedua, amanat itu dilakukan ketika beliau memegang kuasa sebagai Pengarah JSJ.
Sudah tentu ia lebih mudah dilaksanakan berbanding ucapan sama dilakukan oleh pegawai biasa dalam mana-mana pasukan keselamatan atau penguatkuasa lain.
Inilah baru dikatakan kepimpinan melalui teladan. Membetulkan kesilapan yang berlaku sehingga ia dianggap norma biasa dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dengan kesungguhan sedemikian yang turut dikongsi oleh kepimpinan tertinggi iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, kita yakin PDRM akan terus mencatat kejayaan dan setanding polis negara-negara maju.
Antara petikan ucapan Shuhaily adalah: “It’s gonna be very easy, very simple, sama ada awak berubah atau akan ditukarkan.
“Saya berdiri dengan tuan puan dekat sini bukan sebagai seorang yang lebih mulia atau lebih pandai tetapi saya atas apa jua alasan, Allah SWT pilih dan amanahkan saya buat kerja ini dan saya di sini untuk lakukannya. Mudah, saya di sini untuk lakukannya.
“Anda sanggup jual nyawa seorang lagi rakan kerana duit imbuhan yang tidak seberapa, yang dapat daripada sindiket dalam erti kata lain, dalam pasukan ini kelak ada yang membunuh antara satu sama lain disebabkan duit, sebab apa, tiada penyeliaan di bawah untuk menjaga, tengok budak-budak (pegawai) ini cara hidup dia.”
Sepatutnya kita tidak terkejut atau rasa pelik dengan ucapan sebegini. Sebabnya, itulah antara inti pati yang disuruh oleh Islam iaitu mengajak kepada yang makruf dan meninggalkan yang mungkar.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung. (ali-Imran: 104)
KETUA
Begitulah sepatutnya tindakan dan perilaku seorang ketua. Jangan pula ketua jadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul.
Sebenarnya, masih ramai pegawai polis atau penguatkuasa kita yang jujur dan amanah menjalankan tugas. Namun, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Disebabkan segelintir yang makan suap atau ambil sogokan dan imbuhan, terpalit imej PDRM.
Makan harta melalui jalan yang haram ini bukan sahaja berdosa tetapi ada kesan yang besar dalam hidup kita. Apabila banyak melakukan maksiat kita tidak lagi berasakan ia satu dosa.
Setiap kali melakukan dosa atau maksiat, akan lekat satu titik hitam dalam hati. Sehinggakan apabila acap kali melakukannya, ia sudah lali dan tidak melihat ia sebagai dosa yang mesti dihindari.
Ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: Seorang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sedangkan orang fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti melihat lalat hinggap di hidungnya. (Riwayat al-Tirmidzi)
Memang kita sebagai manusia mahu hidup mewah dan mempunyai harta. Islam pun tidak melarang umatnya untuk mencari kekayaan.
Malah, kita digalakkan berusaha menjadi orang kaya agar dengan harta itu dapat kita mengeluarkan zakat dan bersedekah.
Yang dilarang adalah mencari kekayaan melalui jalan batil dengan cara mengambil hak orang lain. Bagi orang yang ada kuasa, jangan salah guna kuasa untuk dapat imbuhan, sogokan atau rasuah.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. (al-Nisa’: 29)
Jangan kita lupa bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara. Ia hanya persinggahan untuk kita menuai hasilnya di akhirat kelak.
Apalah ertinya hidup selama 60 atau 70 tahun dengan kita mengambil sogokan berbanding seksaan Allah di akhirat yang satu harinya bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia.
Kita tidak menongkat dunia dan setiap yang kita lakukan akan dihitung oleh Allah di hadapan neraca-Nya yang paling adil.
Tidak ada yang dapat disembunyikan waima perkara sebesar zarah sekali pun. Ada dua malaikat di kiri dan kanan kita yang mencatat segala perbuatan kita.
Ingatlah juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Kedua kaki seorang hamba tidaklah beranjak dari tempat hisabnya pada hari kiamat hingga dia ditanya mengenai empat hal iaitu umurnya, untuk apakah ia habiskan; jasadnya, untuk apakah dia gunakan; ilmunya, apakah telah dia amalkan dan hartanya, dari mana dia peroleh dan dalam hal apa dia belanjakan.” (Riwayat Tirmidzi)
Teringat ceramah Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang menyebut, “Kita jangan banyak tidur di dunia supaya boleh tidur lena di kubur sebab dah banyak beribadat.”
Kerja kita juga adalah ibadat. Jadi, kalau nak tenang di dalam kubur jangan banyak buat maksiat. Jika tidak, mana boleh nak lena tidur sebab kena hentam dek malaikat. – UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










