Hukuman mati untuk penyeludup PATI?

Hukuman mati untuk penyeludup PATI?

ISU kebocoran di pintu sempadan negara adalah satu cabaran serius yang perlu diatasi segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian budaya, sumber alam dan keramahan penduduknya serta merupakan destinasi cukup menarik bagi warga asing.

Namun, keindahan dan peluang yang ditawarkan itu juga membawa risiko cukup besar, iaitu kebocoran di sempadan negara.

Kelemahan ini telah lama menjadi perhatian dan masih berlanjutan dewasa ini dengan isu utama sentiasa muncul ialah aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan yang bertugas di pintu sempadan. Ia bukan sekadar menimbulkan kebimbangan terhadap rasuah tetapi juga membuka pintu kepada aktiviti lain seperti pengedaran dadah, penyeludupan senjata api dan ancaman terorisme.

Isu utama yang menyaksikan kebocoran di pintu sempadan negara ialah rasuah. Menurut laporan, pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan bermula dari gred terendah telah terlibat bekerjasama dengan sindiket atau kartel penyeludupan warga asing secara haram.

Faktor kelemahan sistem pengurusan Jabatan Imigresen (JIM) juga sering diperkatakan dan masih lagi berlaku terutama kerana kerajaan mengalami masalah kewangan untuk menambah baiknya. Jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin membengkak pasti akan memberi impak sosial dan ekonomi serta menyulitkan tugas anggota penguat kuasa, tambahan pula kecenderungan mereka untuk melakukan jenayah cukup tinggi.

Cadangan penyelesaian jangka panjang:

1. Kerjasama dan koordinasi antara agensi penguatkuasaan perlu diperhebatkan. Kerjasama dan pertukaran maklumat antara agensi adalah kunci untuk menangani masalah ini secara holistik.

2. Teknologi canggih. Penggunaan teknologi seperti pengesan gerakan, kamera pengawasan dan sistem pemantauan sempadan perlu ditingkatkan. Projek pengecaman muka dan data besar serta penggunaan dron perlu dilaksanakan segera atau ditambah baik.

3. Pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya penyeludupan manusia perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat yang tinggal di sempadan dan warga asing itu sendiri. Program penerangan dan kempen kesedaran dapat membantu mengurangkan permintaan dan menghalang individu daripada terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

4. Penguatkuasaan undang-undang tegas. Pengenalan hukuman mati mungkin diperlukan untuk memberi amaran yang serius kepada penyeludup PATI.

Cadangan penyelesaian jangka pendek:

1. Pemindahan pegawai berisiko tinggi. Ini akan membantu mengurangkan peluang penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen.

Di Indonesia, jika ada aduan terhadap pegawai imigresen, mereka akan dipindahkan serta-merta dalam tempoh 24 jam dengan jarak minimum 1,000 kilometer dari lokasi sekarang! Pegawai integriti dan pegawai perisik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu ditempatkan segera di agensi-agensi penguat kuasa berkenaan dan di pintu sempadan kerana masalah ini makin serius dan perlu dikekang segera.

Hukuman bersifat tatatertib sudah tidak lagi berkesan. Mereka gembira dan tertawa dengan hukuman ini! Mereka mesti dicaj dengan kesalahan jenayah yang memerlukan hukuman sebat dan penjara tempoh lama agar pegawai lain sedia ada takut untuk mengulangi kesalahan tersebut.

Prosedur lebih ketat diperlukan bagi memastikan individu atau pegawai di lapangan terbang yang bebas keluar masuk kawasan larangan diperiksa semula latar belakang bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa manipulasi penjenayah. Cadangan untuk memakai kamera badan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan adalah satu tindakan berkesan bagi memantau dan merakam aktiviti di pintu sempadan. Contoh keberkesanannya di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah menambah keyakinan terhadap cadangan ini.

2. Pemulangan pasport tamat tempoh. Pemulangan pasport Malaysia yang tamat tempoh kepada JIM adalah satu tindakan yang berpotensi untuk mengelak penyalahgunaan dan pemalsuan maklumat oleh warga asing.

3. Kad pengenalan khas. Mengeluarkan kad pengenalan khas untuk setiap pemegang paspot asing yang masuk ke Malaysia adalah satu cara untuk memudahkan pengesanan dan meminimumkan penipuan.

4. Sistem pengesan khas. Melaksanakan sistem pengesan khas dalam paspot pekerja asing adalah satu cara untuk memastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan tiada penipuan atau pemalsuan dilakukan.

5. Penggunaan cap kod bar. Menggantikan cap keselamatan dengan sistem kod bar di kaunter imigresen adalah langkah teknologi yang lebih canggih dan lebih sukar untuk dipalsukan.

6. Sijil menduduki premis. Mengeluarkan sijil menduduki premis atau sijil kebenaran menduduki atau menyewa premis kepada warga asing adalah cara untuk memantau kehadiran mereka secara sah.

Isu kebocoran di pintu sempadan negara adalah satu cabaran serius perlu diatasi segera. Aktiviti rasuah oleh pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan adalah satu komponen utama yang perlu diselesaikan. Dengan kerjasama lebih baik antara agensi, penggunaan teknologi, pendidikan awam dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, kita boleh memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin. Ini menjadikan Malaysia sebuah destinasi yang aman dan sentiasa menjadi pilihan pelancong asing.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yakin jika cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kita mampu untuk menutup peluang atau ruang bagi kemasukan PATI.

Penguatkuasaan undang-undang juga harus diberi perhatian serius untuk membendung sebarang aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam agensi penguatkuasaan di sempadan.

Masalah ini memerlukan tindakan segera yang berani. Keberanian dan ketangkasan pelaksanaan tindakan tegas serta langkah-langkah segera yang dicadangkan oleh MCW ini adalah perkara diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin. Cadangan di atas adalah satu panggilan kecemasan kepada semua pihak berkuasa untuk bertindak dengan pantas demi kebaikan negara dan keselamatan rakyat. – UTUSAN

Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×