ALOR SETAR: Penternak ayam dan pengeluar telur di negeri ini menaruh harapan tinggi agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi demi menstabilkan bekalan dan harga makanan segar itu di pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Kedah, P. Ravintharan berkata, penghapusan subsidi mungkin mengakibatkan krisis bekalan makanan itu apabila penternak mengurangkan pengeluaran akibat kos operasi semakin tinggi.
“Jika kerajaan tidak teruskan subsidi sekarang, ia akan menjejaskan keselamatan bekalan ayam bagi jangka masa panjang.
“Kita mungkin menghadapi satu lagi pusingan krisis bekalan kekurangan bekalan ayam dan telur jika penternak memutuskan untuk menghentikan atau mengurangkan bekalan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar ini baru-baru ini melaporkan, Kabinet akan membuat keputusan berkaitan subsidi ayam dan telur dalam masa terdekat setelah pemberian subsidi itu kepada penternak diteruskan dari 1 Januari hingga 30 Jun lalu sebelum dilanjutkan pada 1 Julai lalu sehingga kini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan akan dibuat selepas mengambil kira jualan makanan segar itu yang kini mula dipasarkan di bawah harga siling dan bekalan yang semakin stabil.
Mengulas lanjut, Ravintharan berkata, penghapusan subsidi itu juga akan memberi kesan serta-merta kepada pengeluaran ayam dan telur tempatan.
“Kos setiap ekor ayam untuk penternak berskala kecil dan sederhana meningkat secara berterusan sejak Covid-19 tiga tahun lalu.
“Sebelum itu, bagi makanan ayam seberat 50 kilogram (kg) dijual RM85 tetapi harganya melonjak kepada RM135 sekampit sejak wabak itu.
“Secara keseluruhannya, kos overhead tetap yang merangkumi makanan ternakan, gaji pekerja, bil elektrik dan sebagainya meningkat kira-kira 20 peratus tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, penternak yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, kos makanan ternakan dan anak ayam masih tinggi sepanjang masa.
“Kos makanan ternakan dan anak ayam masih tinggi sepanjang masa. Adalah munasabah bagi kerajaan untuk mempertimbangkan langkah-langkah intervensi dengan memberi tumpuan kepada subsidi untuk pengeluaran pasaran runcit.
“Kami akan rugi jika kerajaan menarik balik subsidi sekarang terutamanya dengan kemasukan ayam import,” katanya. – UTUSAN










