Malaysia tetap hebat walaupun tidak ke bulan

Malaysia tetap hebat walaupun tidak ke bulan

MOHD. Azman Yacob berucap merasmikan D-Foot International, APADLP dan Persidangan Luka Global Kelima 2023 yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, Jumaat lalu. – IHSAN KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, seorang aktivis politik, Mohd. Soberi Shafii yang saya kenali ketika bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia di Kelantan memuat naik status dalam Facebook beliau:

“Tarikh masuk 12 September, tarikh keluar 27 September 2023. Terima kasih para doktor dan kakitangan Wad 5, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di atas perkhidmatan anda semua. Walaupun ada berita duka tapi banyak yang gembira.

Luka masih merah kini akan disusuli di klinik untuk bersih luka setiap pagi sehinggalah luka pulih sepenuhnya. 15 hari di dalam wad setelah satu jari tangan dipotong. Dari lima dah tinggal empat (jari).”

Ucapan terima kasih beliau itu adalah salah satu daripada banyak penghargaan kepada HKL yang diakui oleh Presiden Kesatuan Persatuan Penyembuh Luka Sedunia (WUWHS), Profesor Datuk Dr. Harikrishna K.R. Nair sebagai hospital mempunyai unit rawatan luka antara yang terbaik di dunia.

Menurut Harikrishna yang juga Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, HKL, kaedah rawatan bukan setakat cara tradisional pencucian luka di wad dan pemberian antibiotik bagi menghindarkan dan merawat jangkitan kuman tetapi turut melibatkan pengenalan kaedah rawatan dan teknologi terkini termasuk sel stem yang menggunakan mesenchymal stem cell (MSC).

MSC ialah sel stem dewasa yang boleh ditemui dalam pelbagai tisu termasuk tali pusat, sumsum tulang dan tisu lemak. Ia mempunyai keupayaan untuk membiak sendiri dan bertukar kepada sel-sel khusus lain seperti tulang, sel otot dan lemak serta tisu penghubung. Oleh itu, ia memberikan hasil regeneratif kepada tubuh yang rosak.

Perkara itu didedahkan ketika Harikrishna berucap pada majlis D-Foot International, APADLP dan Persidangan Luka Global Kelima 2023 diadakan selama tiga hari di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor yang berakhir Ahad lalu.

Keupayaan ‘hebat’ yang dimiliki oleh HKL sudah tentu melegakan kita yang sejak dahulu sering dimomokkan pesakit diabetes jika tidak berhati-hati mengurangkan pengambilan gula, kesannya hingga terpaksa potong kaki. Ia berpunca daripada kaki seorang pesakit diabetes mengalami luka dan ia sukar sembuh sehingga akhirnya terpaksa dipotong.

Kita lebih terkedepan dalam bidang itu kerana wujud kesedaran dalam kalangan pegawai perubatan di Malaysia diterajui Harikrishna yang memberi tumpuan melakukan penyelidikan dalam bidang itu termasuk mengumpulkan pasukan perubatan daripada pelbagai disiplin dengan menubuhkan Persatuan Profesional Penjagaan Luka Malaysia (MSWCP) sejak 2011.

Harikrishna berkata, kaedah rawatan terbaharu lain termasuk menggunakan terapi cahaya berwarna biru yang didapati berkesan ketika pihaknya melakukan rawatan perintis pada 2022 dinamakan Kajian Sinaran Empirikal Cahaya Biru (BLESS) melibatkan pesakit di HKL.

Kaedah ini digunakan untuk luka kronik yang tidak menunjukkan tanda-tanda penyembuhan pada tahap 40 hingga 50 peratus walaupun telah dirawat selama empat minggu, selalunya melibatkan pesakit diabetes.

“Diabetes kini menjadi pandemik apabila menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata. Di peringkat global, seorang penghidap diabetes mati setiap tujuh saat dan satu kaki dipotong setiap 20 saat.

“Inilah realitinya dan kita perlu mewujudkan hubungan yang kukuh untuk mengurus komplikasi kaki diabetes secara menyeluruh dan holistik dengan pendekatan pasukan pelbagai disiplin. Kita perlu mencegah amputasi yang boleh dielakkan di seluruh dunia,” katanya.

Tambah beliau, kaedah-kaedah lain yang sedang dikaji melibatkan penggunaan nanopartikel daripada tembaga bagi menghalang jangkitan, bahan sintetik termaju bagi menutup kawasan luka dan kaedah pengimejan menyeluruh yang boleh mengesan jangkitan tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

MAHAL

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob yang berucap merasmikan persidangan itu menyifatkan program anjuran MSWCP dengan kerjasama badan antarabangsa, HKL dan Biro Pelancongan Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 1,000 peserta secara fizikal, 3,000 orang (secara dalam talian) dan 100 orang (pembentang kertas kerja) dari 50 negara.

Beliau berkata, KKM menubuhkan Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan (NWCC) sejak 2009 yang bertanggungjawab melakukan pengawasan dan telah membangunkan Manual Penjagaan Luka dan Modul Latihan Penjagaan Luka sebagai garis panduan standard untuk profesional penjagaan kesihatan serta untuk tujuan latihan.

Tambah beliau, kaedah moden rawatan luka sebenarnya agak mahal bukan sahaja boleh diperoleh di HKL, malah sudah berkembang ke hampir semua hospital di negara ini yang telah menubuhkan pasukan penjagaan luka masing-masing.

“KKM juga telah memperuntukkan bajet khusus lebih RM5 juta setiap tahun untuk penjagaan luka yang diagihkan kepada semua hospital berdasarkan jumlah pesakit penjagaan luka mereka,” katanya.

Menghadiri persidangan seperti ini telah membuka mata saya bahawa Malaysia mempunyai ramai pakar perubatan dan banyak penyelidikan hebat yang tidak diketahui rakyat kerana ia bersifat terlalu teknikal sehingga jarang dilaporkan media massa arus perdana.

Oleh itu, kepada pihak yang memandang lekeh dengan menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mengucapkan tahniah pada 24 Ogos lalu kepada kerajaan India apabila berjaya mendarat kapal angkasa di permukaan bulan, harus sedar bahawa Malaysia juga maju dalam banyak bidang sains dan teknologi lain.

Sebenarnya, kejayaan dalam penyelidikan rawatan luka ini memberi manfaat secara terus kepada rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang boleh hilang pekerjaan jika lama dirawat di hospital atau apabila kaki terpaksa dipotong.

Seperti yang dinyatakan Harikrishna dalam ucapannya, “Saya akan terus bekerja bagi melakukan pelbagai penambahbaikan dan melatih lebih ramai pakar dalam bidang ini walaupun setelah bersara.

“Saya akan terus memberikan sumbangan serta membantu golongan B40 dengan pengedaran kit penyembuhan luka dan hanya akan berhenti apabila meninggal dunia.” – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×