Bukan Melayu masih belum langsai bahagian mereka

Bukan Melayu masih belum langsai bahagian mereka

KITA masih mendapati ramai dalam kalangan bukan Melayu termasuk golongan muda tidak memiliki pengetahuan baik dan penguasaan tinggi dalam bahasa Melayu. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONTRAK sosial sebagai rujukan longgar kepada Persetujuan Etnik menjelang kemerdekaan negara pada 1957 sebenarnya adalah amanah. Sebagai amanah, ia bukan sahaja kepercayaan yang diletakkan pada sesuatu pihak, juga hendaklah dilangsaikan seperti dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan.

Sehubungan ini, Persetujuan Etnik pada 1955 itu yang disepakati antara Melayu, Cina dan India adalah perjanjian antara dua pihak, iaitu Melayu dan bukan Melayu. Ia berkenaan pertukaran persetiaan oleh dua etnisiti ini, iaitu etnik Melayu bersedia memberi kerakyatan kepada bukan Melayu yang mahu terus tinggal di tanah bertuah ini setelah British yang membawa mereka masuk tidak berkuasa lagi.

Sebagai balasan, etnik bukan Melayu memberi jaminan untuk menerima empat perkara dalam pertukaran itu. Empat perkara itu ialah Islam sebagai agama paling utama di negara ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kekuasaan raja Melayu.

Bahagian etnik Melayu pada kontrak itu dilangsaikan sejurus sahaja ia dimeterai. Dengan ini, jutaan etnik Cina dan India menjadi rakyat dengan bergelar warganegara dalam sekelip mata sahaja. Kini beberapa generasi kemudian bukan sahaja muncul, juga terus menikmati taraf kewarganegaraan yang diberikan dengan mudah sekali kepada nenek moyang mereka. Ia boleh dikatakan begitu kerana syarat mastautin untuk yang tidak dilahirkan di sini ialah sesingkat lima tahun sahaja.

Begitu juga dengan syarat kebolehan berbahasa Melayu yang bersifat amat asas sekali. Berdasarkan pelbagai bukti didapati etnik bukan Melayu, Cina misalnya, masih belum melangsaikan bahagian mereka antaranya dalam bidang bahasa Melayu biarpun sudah 66 tahun berlalu. Ini kerana kita masih mendapati ramai dalam kalangan etnik Cina termasuklah golongan muda yang tidak memiliki pengetahuan baik apatah lagi penguasaan tinggi dalam bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa negara.

Isu linguistik ini apabila dibangkitkan disahut dengan cepat oleh etnik Cina yang diwakili pemimpin mereka yang sesetengahnya merupakan ahli cabang legislatif negara. Ia berupa dalil yang bukan sahaja tidak sepatutnya diutarakan, juga langsung tidak memperlihat semangat kebangsaan walaupun lemah sekali sifatnya. Antaranya termasuklah bahasa Melayu tiada nilai ekonomi berbanding bahasa mereka, iaitu Mandarin.

Juga kepentingan bahasa Melayu yang amat terhad, iaitu di Malaysia dan Indonesia sahaja jika dibandingkan dengan Mandarin yang merupakan antara bahasa terbesar di dunia. Walaupun diberitahu nilai kenegaraan pada bahasa Melayu itu bukan sahaja tinggi malah tiada tolok bandingnya dalam konteks nasionalisme dan patriotisme negara, reaksi mereka ialah masa sudah berubah. Dengan ini bagi mereka, tumpuan perlu beralih atas dasar pragmatik dan bukan lagi idealisme semata-mata.

HIASAN

Oleh itu, ia tidak boleh lagi bersifat keinginan untuk terus mahu mengangkat bahasa Melayu, meskipun di Malaysia sendiri dalam dunia semasa yang kini mula mementingkan bahasa Mandarin selain bahasa Inggeris yang sudah lama mustahak. Sehubungan ini, penerimaan bahasa Melayu kini hanya perlu bersifat hiasan, iaitu sebagai lambang negara untuk tujuan simbolik semata-mata yang tiada peranan penting lagi.

Inilah sikap yang wujud pada ramai kalangan etnik bukan Melayu yang sudah menjadi naratif standard mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelasnya pada dalil mereka untuk menolak kepentingan bahasa Melayu walaupun dalam ranah kenegaraan sebagai identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya.

Dengan sikap sedemikian, baik pada pemikiran mahupun tingkah laku mereka, persoalan genting ialah di manakah amanah mereka dalam sama-sama menjayakan kontrak itu dengan melangsaikan bahagian mereka yang telah pun lama dipersetujui? Selain bahasa Melayu, mereka juga perlu melangsaikannya pada aspek Islam sebagai agama negara dan kedudukan istimewa etnik Melayu.

Ini kerana dua perkara ini juga sakan dipertikai secara semberono. Walaupun begitu, aspek kekuasaan raja Melayu didapati langsung tidak menjadi isu kepada etnik bukan Melayu.

Sebetulnya empat perkara pada kontrak itu yang kini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara sebilangan hukum yang bukan sahaja memboleh, juga membenarkan kita yang pelbagai etnisiti ini berkoordinasi antara satu sama lain untuk mewujudkan hubungan dan suasana harmoni di tanah air tercinta ini. Dalam hal ini, ia hanya boleh menjadi sedemikian apabila semua pihak telah melangsaikan bahagian masing-masing.

Malangnya ia tidak sebegitu kerana bahagian yang perlu dilangsaikan etnik bukan Melayu masih tertunggak. Dengan ini, amanah pada mereka sepatutnya tidak sesekali diambil mudah dengan memperlihat sikap acuh tidak acuh, apatah lagi yang sengaja dipersia-sia. Ia seharusnya diusahakan dengan bersungguh-sungguh agar apa-apa yang dijanjikan itu dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya amanah itu berubah menjadi pengkhianatan. Sesungguhnya etnik Melayu sangat mempercayai bukan Melayu untuk melangsaikan bahagian mereka setelah diberikan kerakyatan yang sangat diingini mereka itu. Namun, kepercayaan itu bukan sahaja meleset, ia dibeloti.

Persoalan lebih genting lagi utama di sini ialah di manakah kesetiaan etnik bukan Melayu dalam berjanji? Ini kerana ia tidak terlihat pun pada kontrak itu. Sebaliknya bukan sahaja pecah amanah, ia pengkhianatan yang tiada persetiaannya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×