Melayu ketandusan pemimpin masa depan? - Utusan Malaysia

Melayu ketandusan pemimpin masa depan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEHKAH kita namakan siapa 10 tokoh Melayu yang boleh diangkat untuk memimpin negara 10 tahun akan datang? Itu soalan yang dilemparkan oleh seorang tokoh ekoran kegusaran negara bakal ketandusan barisan kepimpinan terutama dari kalangan orang Melayu untuk memimpin negara.
Persoalan yang perlu dijawab ialah, selepas Anwar Ibrahim, siapakah pemimpin Melayu yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri? Siapakah tokoh Melayu dalam semua kepemimpinan parti politik sekarang yang layak mengisi tampuk kerajaan itu seandainya Anwar tidak lagi menjadi perdana menteri selepas pilihan raya akan datang?
Hal berkaitan dengan kepimpinan negara ini bukan setakat lantik mana-mana pemimpin parti untuk jadi perdana menteri. Ia memerlukan kredibiliti, aura serta keupayaan untuk membawa idea baharu kepada negara.
Individu yang dipilih memimpin negara mesti bebas daripada segala macam bentuk kontroversi sama ada yang tersurat atau tersirat selain dihormati kawan dan lawan di dalam dan luar negara.
Kita sebagai rakyat, sebagai penyokong dan pendukung parti politik boleh melihat dan menilai sendiri senarai kepimpinan yang ada. Daripada kalangan mereka ini adakah wujud individu yang boleh diharapkan untuk membawa Malaysia untuk sekurang-kurangnya tempoh sedekad lagi? Kalau boleh biarlah untuk satu tempoh yang boleh membawa perubahan kepada rakyat dan negara.
Sebagaimana Tun Dr. Mahathir mengubah imej Malaysia daripada negara miskin kepada negara membangun dengan sektor perkilangan berkembang pesat atau pemimpin seperti Joko Widodo yang berjaya mengubah wajah Indonesia kepada satu imej baharu yang lebih dihormati dan disegani.
Dalam dekad-dekad yang akan datang, individu yang memimpin Malaysia mesti benar-benar berkualiti untuk menggerakkan negara dalam menghadapi saingan serantau dan antarabangsa yang semakin getir sekarang.
Perlu diingat memimpin parti politik berbeza dengan memimpin negara. Daripada 34 juta rakyat Malaysia mungkin dalam sekitar 20 peratus sahaja yang menjadi ahli mana-mana parti politik. Dalam parti ada ketikanya pemimpin boleh paksa ahli ikut dasar mereka. Atau pemimpin ubah dasar untuk penuhi cita rasanya, sebab matlamat ya hanya untuk berkuasa,
Jika bawa cara dan kaedah memimpin politik untuk mentadbir kerajaan maka negara akan hancur.
Semua orang boleh menjadi nakhoda ketika laut tenang. Kepimpinan sebenar hanya akan teruji apabila berhadapan badai taufan, gelombang dan gelora.
Malaysia mungkin ada pemimpin yang memiliki kualiti sebegini. Tetapi dalam kalangan orang Melayu sekarang adakah kita mempunyai pemimpin yang cukup kuat selepas era Anwar? Kalau ada siapa?
Andainya orang Melayu terutama parti-parti Melayu gagal melahirkan atau memilih dan mengenal pasti pemimpin berkebolehan tidak mustahil Malaysia akan jadi seperti negara-negara lain terutama Amerika Syarikat dan Britain, yang mana kaum bukan majoriti dilantik sebagai presiden dan perdana menteri.
Sebenarnya tidak ada masalah pun untuk melantik pemimpin dalam kalangan kaum bukan majoriti asalkan ada merit. Asalkan individu itu mampu memimpin negara ke tahap yang lebih tinggi.
Tapi dalam kalangan orang Melayu adalah mereka bersedia menerima situasi ini?
Jika bersedia tidak ada masalah. Jika bersedia menerima pemimpin seperti Barack Obama di AS dan Rishi Sunak di Britain, maka kita orang Melayu boleh terus bergaduh. Bergaduh dalam parti sendiri dan bergaduh dengan parti Melayu lain yang tidak sealiran.
Kerana asyik bergaduh tentang politik dan kuasa dalam parti, orang Melayu lupa bahawa mereka kini ketandusan pemimpin untuk memimpin negara.
Perlu diingat, menjadi pemimpin di negara ini bukan sekadar memimpin orang Melayu, tetapi memimpin semua kaum, bangsa, keturunan agama.
Prasyarat utama mesti yang mampu memberikan kestabilan kepada politik negara supaya tumpuan boleh diberikan kepada pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat.
Untuk melahirkan pemimpin Melayu yang memiliki kualiti seperti ini dalam keadaan sekarang kelihatan sukar. Halangan pertama adalah perpecahan dalam kalangan parti Melayu yang menyebabkan ada individu yang berpotensi untuk dipupuk sebagai pemimpin masa depan telah disingkir. Perpecahan parti Melayu ada di mana-mana. Ini menyebabkan pemimpin yang tinggal lebih memikirkan survival untuk diri sendiri. Mereka tidak ada masa untuk memikirkan untuk esok atau masa depan, kerana hari ini pun kedudukan mereka belum pasti.
Seperti kata Profesor Emeritus Khoo Boo Teik dari Institut Siswazah Kebangsaan untuk Pengajian Dasar, Tokyo, Jepun, dan Felo Pelawat Kanan Institut Yusof Ishak, Singapura iaitu politik Melayu sekarang masih trauma dengan siri pengkhianatan demi pengkhianatan. Kerana itu pemimpin yang ada hidup dalam kebimbangan sama ada penguasaan dan cita-cita mereka akan dapat direalisasikan, serta kebimbangan terhadap kelangsungan kuasa dan ketakutan terhadap konspirasi yang bakal timbul.
Ini menyebabkan mereka berterusan syak wasangka sesama sendiri yang menimbulkan situasi di mana yang tua sedang nazak dan yang muda pula tidak dapat dilahirkan. Dendam akibat pengkhianatan menyebabkan mereka berterusan memburu orang untuk dihukum hingga menyumbang kepada ketandusan kepimpinan pelapis untuk masa depan.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×