Subsidi tidak beri manfaat kepada pesawah? - Utusan Malaysia

Subsidi tidak beri manfaat kepada pesawah?

Pengilang mengakui mereka kini terpaksa membeli padi daripada dengan harga bawah RM1,700 per tan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hasrat kerajaan menambah pendapatan pesawah kepada RM2,200 bagi setiap tan padi yang dihasilkan dengan memberi subsidi RM500 tidak tercapai apabila pengilang kini menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 satu tan sebelum ini kepada RM1,200 per tan.

Dengan tindakan pengilang membeli padi pada harga teren­dah atau harga lantai yang ditetapkan kerajaan sejak 2014, pesawah kini memperoleh RM1,700 bagi setiap tan padi selepas dicampur dengan subsidi.

Perkara tersebut didakwa berlaku di seluruh negara de­ngan pengilang memberi alasan untuk mengelak syarikat rugi akibat manipulasi kartel selain kos memproses padi bagi beras kampit 10 kilogram adalah RM35 tetapi kerajaan mele­takkan harga kawalan RM22.50.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pengilang Beras Skim Pusat Belian Kedah dan Perlis, Marzukhi Othman berkata, mereka tiada pilihan terpaksa menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 kepada RM1,250 per tan bagi mengelak menanggung rugi berpanjangan.

Menurut beliau, sebagai contoh, bagi penghasilan 10,000 tan metrik beras, pengilang terpaksa menanggung kerugian sehingga RM7.5 juta jika membeli padi dengan harga RM1,700 per tan.

Bagaimanapun, katanya, penurunan harga belian padi tidak menjejaskan subsidi dinikmati pesawah sebanyak RM500 bagi setiap satu tan metrik hasil yang dijual.

KARTEL

Menurut beliau, pengilang mula menurunkan harga padi disebabkan permainan harga oleh kartel-kartel yang me­nguasai 80 peratus pasaran beras negara.

Dakwa Marzukhi, syarikat-syarikat berkenaan bukan sahaja mempunyai kilang-kilang beras tetapi merangkumi syarikat pemborong dan pembungkusan beras sendiri yang bermain harga di sebalik kenaikan harga beras import.

Oleh itu, kata beliau, pengilang tiada pilihan kerana mereka juga menjual beras yang dibeli daripada pesawah kepada syarikat pemborong yang me­nguasai pasaran beras negara.

“Kami pengilang padi kecil dan sederhana terpaksa turunkan harga belian padi jika tidak kami rugi sekitar RM13 bagi setiap 10 kilogram jika masih membeli padi dengan harga RM1,700 setiap tan.

“Jika kira rugi satu tan kita rugi sehingga RM900 dan kilangnya yang menghasilkan kira-kira 10,000 tan metrik boleh menanggung kerugian mencecah RM7.5 juta jika masih membeli dengan harga berkenaan (RM1,700).

“Kita memang tidak ada pilihan. Apabila syarikat-syarikat besar atau kartel ini yang me­nguasai pasaran beras memainkan harga. Di peringkat kilang-kilang juga berlaku perang harga disebabkan perkara ber­kenaan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, tindakan pengilang menurunkan harga pembelian padi secara drastik daripada RM1,700 per tan kepada antara RM1,200 hingga RM1,250 memberi kesan besar kepada petani terutamanya kira-kira 50 peratus lagi pesawah belum menuai hasil musim ini.

KELUHAN

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob dilaporkan berkata, isu tersebut tidak timbul sekiranya kerajaan mendengar keluhan petani agar meningkatkan harga siling beras tempatan daripada RM2.60 kepada RM3.50 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang memberi maklum balas berhubung perkara itu berkata, pesawah masih mendapat RM1,700 satu tan bagi harga jualan padi mereka kerana kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi.

Di Kelantan, pengilang di negeri ini berkemungkinan terpaksa menutup operasi sekiranya mereka membeli harga padi melebihi RM1,400 per tan.

Satu sumber pengilang ber­kata, pembelian itu menyebabkan mereka tidak mampu menampung kos operasi memproses padi kepada beras.

Menurutnya, kos mempro­ses satu tan padi kira-kira RM250 dan hasil pengeluaran beras pula sekitar 620 kilogram (kg) yang menepati kehendak pasaran.

KOS

“Itu belum ditambah dengan hasil sampingan beras seperti tenukut, beras hancur dan sebagainya melibatkan kos operasi sebanyak RM250 untuk satu tan. Mahu atau tidak itulah delima yang dihadapi oleh kami dipihak pengilang, malah menjadi satu ‘tekanan’ jika membeli padi mentah pada harga lebih RM1,400 per tan,” katanya.

Kata sumber itu lagi, pihak­nya bimbang operasi kilang tu­tup dan perkara itu akan menjejaskan bekalan beras tempatan.

Di Selangor, wakil pengilang yang enggan dikenali turut mengakui membeli padi dengan harga RM1,250 per tan ketika ini berbanding RM1,680 per tan pada hari pertama tuaian di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

“Kami masih ikut harga pasaran, di tempat lain pun harga bagi belian padi sekitar RM1,250. Pada 2 Oktober lalu dapat RM1,650 kemudian turun dan itu adalah situasi yang biasa berlaku,” kata wakil pengilang itu

Kata beliau, walaupun harga padi jatuh tetapi pengilang masih membeli dengan harga ditetapkan kerajaan.
Malah, dia turut menjawab situasi perbezaan harga mengikut kawasan seperti yang didakwa pesawah di negeri ini berlaku di Kampung Sawah Sempadan, Sungai Burong, Sekinchan dan Sungai Besar.

“Kami akui memang harganya sekitar RM1,400. Harga berbeza mengikut pasaran dan ia berlaku kerana di Selangor, musim di setiap kawasan tidak sama. Mereka ada jadual ma­sing-masing untuk menanam dan menuai padi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×