2,769 kes dera haiwan - Utusan Malaysia

2,769 kes dera haiwan

NORLIZAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan kes penganiayaan terhadap haiwan yang banyak berlaku setiap hari, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bertindak lebih agresif menyiasat setiap aduan yang dilaporkan.

Malah, DVS konsisten menjalankan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan kezaliman sehingga kes dapat dikurangkan ke tahap sifar selain mengelakkan kejadian sama berulang.

Dalam tempoh 2015 sehingga 22 Februari lalu sahaja, sebanyak 2,769 aduan kes melibatkan penganiayaan, kezaliman dan pengabaian terhadap haiwan dilaporkan berlaku di negara ini di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 467) dan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, sebanyak 334 kes dilaporkan pada 2015 dan meningkat tiga tahun berturut-turut iaitu 463 kes (2016), 510 kes ( 2017) dan paling tinggi pada 2018 sebanyak 662 kes.

Beliau berkata, pada 2019, bilangan aduan kezaliman menurun kepada 354 kes namun ia meningkat semula kepada 417 kes pada tahun lalu manakala 29 kes dilaporkan sejak Januari 2021 sehingga setakat 22 Februari lalu.

“DVS sentiasa membuat pemantauan melalui jadual berkala di seluruh negara bagi menangani isu ini. Pencegahan kepada pelakuan penganiayaan perlu diperluas yang mana budaya masyarakat penyayang dan prihatin kepada haiwan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat.

“DVS sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk jabatan atau agensi lain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam menjalankan program kesedaran tentang tanggungjawab kepada haiwan agar masyarakat lebih prihatin terhadap haiwan. ” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Norlizan berkata, pada 2015, kes diperoleh atau disiasat merekodkan 19 kes; 2016 (16 kes); 2017 (28 kes); 2018 (40 kes), 2019 (38) dan 2020 (55 kes) dan lapan kes setakat 22 Februari tahun ini.

Tambahnya, bagi kes sudah selesai di mahkamah merekodkan sebanyak 17 kes (2015), lima kes (2016); empat kes (2017), 13 kes (2018), sembilan kes (2019), 12 kes (2020) dan dua kes (setakat 22 Februari 2021).

Jelas beliau, sepanjang tahun tersebut, sejumlah RM10,100 hukuman denda dikenakan mahkamah terhadap pesalah penderaan haiwan pada 2015 diikuti 2016 (RM17,000), 2017 (RM15,000), 2019 (RM57,500) dan 2020 (RM697,000) sekali gus mencatat rekod paling tinggi sepanjang lima tahun. Bagi tahun ini sehingga setakat 22 Februari, sejumlah RM4,000 hukuman denda dikenakan terhadap pesalah-pesalah berkenaan.

Kes penderaan haiwan kembali hangat susulan tragedi kucing dikenali sebagai Cantik, ditemukan mati oleh pemiliknya baru-baru ini di dalam kotak dengan kertas surat khabar. Lebih menyedihkan, keempat-empat kakinya dipercayai dipatahkan dan dicabut sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, DVS sedang menjalankan post mortem di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 iaitu secara kejam melakukan perbuatan, menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak sepatutnya dan di bawah Seksyen 30 akta sama iaitu membunuh haiwan tanpa sebab.

Seksyen 29 akta sama memperuntukan mana-mana individu yang melakukan penganiyaan kepada haiwan, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 44 Akta Binatang 1953, individu yang melakukan penganiyaan kepada haiwan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×