Kuarters guru lama tempat tinggal sementara anak Felda

Kuarters guru lama tempat tinggal sementara anak Felda

GENERASI kedua Felda menyewa kuarters guru kerana tiada rumah di Felda Chemomoi, Pelangai di Bentong, Pahang. - UTUSAN/AZIZAH SHAFIEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kuarters guru lama yang sebelum ini terbiar menjadi penempatan sementara kepada kira-kira 30 keluarga dalam kalangan generasi kedua Felda di tanah rancangan Felda Chemomoi, di sini.

Namun, situasi mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’ kerana tidak tahu sampai bila dibenarkan menyewa di situ selepas terdapat ura-ura menyatakan kawasan berkenaan bakal dimajukan dengan projek lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penyewa, Badrul Azly Badrul Zaman, 47, berkata, penempatan kuarters itu dibenarkan disewa sekitar 2005 dan dia mula menyewa pada 2011 untuk keselesaan keluarganya.

“Rumah ini ada dua bilik dengan sewa RM50 hingga RM60 sebulan. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menyewa di sini. Tapi sampai bila? Sebab ini pun ibarat menumpang juga.

“Ada dengar-dengar projek yang nak buat atas tanah kuarters ni. Kalau betul, kena keluarlah tapi tak tahu nak ke mana. Kena cari juga penempatan lain,” katanya di sini semalam.

Terdapat kira-kira 30 kuarters di situ yang disewa dalam kalangan generasi kedua Felda dan masih terdapat tiga buah rumah selain flat kuarters yang masih kosong dan terbiar.

Menurut Badrul Azly, dengan pendapatan penyewa kira-kira RM1,000 sebulan, kadar sewaan itu dianggap bersesuaian tambahan dengan situasi ekonomi tidak menentu sekarang.

“Kalau orang dengar, sewa RM50 memang murah. Tapi bagi kami, kalau pendapatan pun tak menentu, kami dah bersyukur sangat. Harapnya masalah perumahan generasi kedua Felda dapat diselesaikan segera. Sampai bila pula kami asyik nak menyewa atau menumpang. Kami juga nak ada rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Razula Mohd. Sidek, 49 berkata, walaupun kuarters guru itu lama ditinggalkan, mereka sanggup tinggal di situ dan membaiki sendiri kerosakan asalkan mereka ada ‘rumah sendiri’.

“Lama dah kuarters ni dibiarkan sebab mereka sudah ada kuarters baharu. Jadi, selepas perbincangan dan campur tangan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dapatlah kami menyewa. Duit sewa kami bayar pada PIBG berkenaan.

“Itu pun ada lagi lot rumah kosong. Kalau lah pihak berkaitan beri izin untuk dibenarkan menyewa, lagi bagus. Kenapa perlu dibiarkan tanpa penghuni sedangkan ia boleh dimanfaat dengan baik,” katanya.

Kata Razula, flat kuarters guru empat tingkat dengan lapan pintu rumah yang terbiar masih boleh dihuni jika dibaiki dan diberikan sewaan kepada mereka yang memerlukannya.

Jelasnya, masih ramai generasi kedua yang mengharapkan agar flat kuarters itu diguna pakai semula daripada dibiarkan kosong yang kemungkinan menjadi ‘port’ aktiviti tidak sihat di kawasan terbabit.

“Difahamkan, ada masalah air tak naik di kawasan flat kuarters ni. Tapi saya rasa, jalan penyelesaian boleh dicari asalkan dibenarkan menyewa. Sayang sebab rumah ada, tapi dibiarkan. Saya betul-betul mengharap kali ni kemelut isu perumahan generasi kedua Felda di sini dapat diselesaikan cepat. Terlampau lama sangat kami menunggu,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×