KETIKA ramai dalam kalangan kita leka dengan gajet dan terbuai dengan ciptaan teknologi, hubungan sosial yang dahulunya terjalin sesama manusia, kini lebih terarah kepada hubungan sosial melalui gajet ciptaan teknologi.
Kelekaan yang acap kali membuat kita terlupa akan nilai-nilai kemanusiaan sejati dan murni, erti berkongsi, mengasihi dan membantu antara satu sama lain.
Cerita-cerita didengar banyak mengisahkan tentang hilangnya sifat kemanusiaan yang tidak mencerminkan sifat rahmatanil al amin jauh sekali untuk membentuk masyarakat madani.
Namun, di sebalik tembok Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), terdapat kisah yang membuktikan sifat kemanusiaan masih wujud. Dalam kesibukan menerima pelajar baharu di kampus Pusat Asasi UIAM (CFSIIUM), Gambang, Pahang baru-baru ini, tersingkap sebuah kisah kemanusiaan tersembunyi di sebalik tabir permulaan semester baharu.
Di antara ribuan pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran di taman ilmu dan budi ini membawa harapan dan impian, terdapat beberapa bakal pelajar berdepan rintangan kewangan yang menghalang mereka untuk melangkah ke alam universiti.
Sebagai sebuat pusat pengajian yang bukan hanya menekankan kecemerlangan akademik, CFSIIUM menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan. Ia percaya bahawa setiap individu berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang ekonomi dan sosial.
Kisah bermula sebaik sahaja pihak pengurusan menerima senarai pelajar yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat asas. Terdapat pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan bantuan untuk meneruskan pengajian. Inisiatif khas diambil oleh pengurusan CFSIIUM secara proaktif dengan menghubungi pelajar-pelajar yang diketahui sangat memerlukan bantuan.
Cabaran dan bebanan kewangan menjadi penghalang utama, bukan sahaja untuk membayar yuran pengajian tetapi juga kos sara hidup dalam kampus, keperluan pembelajaran seperti komputer riba membuatkan ada dalam kalangan bakal pelajar memadamkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran.
Menyedari keperluan mendesak ini, CFSIIUM tidak berdiam diri dan bertindak segera membantu pelajar-pelajar ini. Usaha dimulakan dengan inisiatif pengumpulan dana diusahakan oleh pegawai dan kakitangan CFSIIUM sendiri.
SIMBOLIK
Kempen dilancarkan dengan maklumat yang disebar melalui media sosial, e-mel dan pelbagai platform lain untuk menjangkau bukan sahaja komuniti UIAM tetapi juga pemegang taruh lain serta masyarakat umum.
CFSIIUM menerima respons sangat menggalakkan dalam masa singkat. Setiap sumbangan diterima walau seberapa kecil sekalipun dikira sebagai amanah untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar ini seterusnya membantu mewujudkan impian mereka meniti kehidupan cemerlang pada masa hadapan.
Dengan sumbangan diterima, harapan dan impian menjadi kenyataan. Pelajar-pelajar yang sebelum ini ragu untuk meneruskan pengajian kini dapat melakukannya penuh keyakinan, mengetahui bahawa ada pihak yang menyokong mereka.
Setiap sen yang dikumpulkan diuruskan dengan penuh ketelitian dan integriti. Satu pasukan khas ditubuhkan untuk memastikan setiap sumbangan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Diketahui beberapa pelajar yang memenuhi kriteria untuk menjadi keluarga UIAM berada di lokasi yang jauh dan terpencil. Bagi mereka, perjalanan ke UIAM bukan sahaja tentang jarak, tetapi juga kos dan logistik. Memahami keperluan ini, CFSIIUM mengambil langkah lebih proaktif yang belum pernah ada tandingannya.
Dua pasukan dibentuk dengan misi khusus – untuk mengambil dan membawa pelajar-pelajar ini beserta keluarga mereka dari kampung halaman ke kampus. Pasukan-pasukan ini bergerak ke dua lokasi berbeza, berjalan melalui jalan-jalan kampung semata-mata untuk memastikan setiap pelajar yang layak mendapat peluang sama.
Pengalaman ini bukan sahaja simbolik kepada komitmen CFSIIUM dalam memberikan pendidikan, tetapi juga menunjukkan dedikasi dan perhatian kepada kesejahteraan pelajar. Bayangkan kejutan dan rasa terharu keluarga pelajar tersebut apabila pasukan dari UIAM tiba di pintu rumah mereka dan menghulurkan bantuan.
Misi ini juga menjadi peluang untuk pasukan CFSIIUM memahami latar belakang pelajar mereka, mengeratkan hubungan dan membina jalinan antara universiti dan masyarakat. Ini bukan sahaja tentang membawa pelajar ke universiti, tetapi juga membawa universiti ke hati masyarakat.
Inisiatif ini juga memberikan kesedaran baharu kepada banyak individu mengenai kepentingan membantu mereka yang memerlukan. Banyak dalam kalangan kita sering mengambil nikmat pendidikan sebagai satu kurnia dan rezeki. Namun, ada juga yang menganggap peluang untuk belajar di universiti adalah impian yang jauh akibat kekangan hidup.
Kesimpulannya, kisah ini menunjukkan kemanusiaan dan perikemanusiaan bukanlah kata kosong, tetapi ia sesuatu yang nyata dan wujud dalam kalangan kita. CFSIIUM telah membuktikan dengan kerjasama dan dedikasi, kita boleh membawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain.
Ini adalah satu pelajaran berharga untuk kita semua mengenai makna sebenar kemanusiaan. Inisiatif CFSIIUM ini membuktikan kemanusiaan bukan sahaja terletak pada kata-kata, tetapi pada tindakan.
Di kampus CFSIIUM, kami bukan sahaja menanam ilmu tetapi juga menanam nilai-nilai kemanusiaan, yang pastinya akan membawa impak kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah (Pentadbiran), Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gambang, Pahang.











