‘Mama mati sekejap je kan?’ -anak Munirah

‘Mama mati sekejap je kan?’ -anak Munirah

ANAK Allahyarhamah Munirah Abu Bakar menyiram air di pusara ibunya yang selamat dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib di Kampung Paya Tengah, Padang Besar, Perlis, semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pada usia masih kecil, dua beradik berusia lapan dan enam tahun masih tidak mengerti apa-apa saat menyaksikan perjalananan terakhir ibu mereka yang selamat dikebumikan di Beseri di sini, semalam.

Malah, kelihatan anak bongsu Allahyarmah Munirah Abu Bakar, 31, bertanya kepada saudara terdekat ‘mama mati sekejap je kan,’ yang sekali gus mengundang sebak mereka yang berada di sekeliling.

Jenazah Munirah yang maut ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib di Kampung Paya Tengah di sini.

Dalam pada itu, keluarga Allahyarmah Munirah akan membincangkan soal penjagaan anak tersebut bersama keluarga suami mangsa.

Bapa Munirah, Abu Bakar Senapi, 64, berkata, pihak keluarga belum lagi memikirkan mengenai perkembangan tersebut memandangkan kes menimpa arwah anak perempuannya itu baru berlaku kelmarin.

“Kita akan datang berbincang dengan keluarga besan saya nanti dalam masa terdekat. Buat masa ini, kita belum capai apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut melahirkan kesyukuran kerana segala kerjasama dan kemudahan diberikan sepanjang proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, sehinggalah pengebumian jenazah anaknya selesai.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, akibat cemburu dengan mengesyaki isterinya berlaku curang dipercayai menjadi punca seorang suami bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek berusia 38 tahun yang juga merupakan bekas tentera dan isterinya,

Munirah merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar pergi bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka ke rumah pengasuh.

Suspek tersebut direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 7 Oktober.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×