Berjayakah Gelombang Hijau di Pelangai?

ANALISIS: Berjayakah Gelombang Hijau di Pelangai?

Tiga calon masing-masing daripada PH-BN, PN dan Bebas iaitu Amizar Abu Adam (kiri), Kasim Samat (tengah) dan Haslihelmy DM Zulhasli akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSOALAN sama ada Gelombang Hijau yang merujuk sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas sudah mara ke Pahang atau tidak, hanya akan terjawab pada malam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober ini.

Meskipun PN menguasai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu kebanyakannya di kawasan Felda yang majoriti pengundi Melayu, ia bersandarkan ukuran sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2023.

Tidak mustahil kemaraan gelombang itu kian malap kerana kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selama ini tidak pernah menjejaskan kedudukan dan keistimewaan agama Islam dan Melayu seperti digembar-gemburkan selama ini.

Untuk makluman, BN yang memiliki 17 kerusi DUN membentuk kerajaan negeri Pahang bersama lapan wakil rakyat PH termasuk enam ADUN DAP.

Sepanjang pembentukan kerajaan negeri sehingga kini, tidak kedengaran ketidakpuasan hati berhubung segala usaha dilakukan kepemimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan

Rosdy Wan Ismail untuk menjaga kedudukan agama Islam.

Antaranya tambahan peruntukan untuk meningkatkan syiar Islam dan menguatkuasakan undang-undang Islam dengan mewartakan enakmen berkaitan murtad, wakaf, tarekat bagi memelihara akidah umat Islam di negeri ini.

Tetapi bagi PN, mereka melihat kerjasama BN dan PH amat rapuh dengan mahu penyatuan ummah dapat dilakukan demi kestabilan politik Pahang.

Mereka berhujah, jika dua parti Melayu antara UMNO dan Pas bergabung, maka nasib orang Melayu lebih terbela manakala politik negeri akan lebih stabil tanpa campur tangan pihak tertentu.

Justeru, memandangkan 70 peratus daripada lebih 16,000 pengundi Pelangai terdiri dalam kalangan kaum Melayu, sudah tentu PRK ini menjadi titik sama ada Gelombang Hijau berjaya dinoktahkan atau tidak.

Menang atau kalah, BN tetap menjadi kerajaan dan PN pula kekal pembangkang, tetapi Pelangai amat penting demi survival kedua-dua pihak untuk meraih sokongan orang Melayu atau sebaliknya tanpa menafikan sumbangan kaum lain.

Bagaimanapun terus menjadi persoalan, adakah pengundi Pelangai termakan dengan strategi kempen Gelombang Hijau? Jawapannya pada 7 Oktober nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×