Apa status UPSR, PT3?

Apa status UPSR, PT3?

upsr
SEBAHAGIAN ibu bapa turut menuntut UPSR dikembalikan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan digesa memberi penjelasan sama ada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bakal dikembalikan atau sebaliknya.

Ia susulan keperluan peperiksaan itu dikatakan dinilai dalam sesi libat urus kementerian itu namun sehingga kini senyap sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ibu bapa, guru dan pemerhati pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, hasil sesi libat urus atau tindakan yang mahu diambil sepatutnya sudah ada selepas usaha itu dimaklumkan Julai lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, rakan-rakan ibu bapa dan guru mengharapkan supaya ketetapan sama ada mahu meneruskan kedua-dua peperiksaan itu atau sebaliknya dapat dibuat lebih awal.

“Ketika ini kumpulan ibu bapa tertanya-tanya, jadi sebaiknya kita buat pengumuman itu lebih awal supaya bukan sahaja penjaga tetapi guru dapat membuat persediaan lebih awal.

“Jika pengumuman itu dibuat lebih awal, semua ahli masyarakat dan guru dapat buat persiapan dari segi psikologi dan pengajaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Kementerian Pendidikan kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Bagaimanapun, ramai ibu bapa kemudian menuntut agar UPSR dikembalikan kerana mendakwa Kementerian Pendidikan belum bersedia sepenuhnya melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Susulan itu, media pada 6 Julai lalu melaporkan, Kementerian Pendidikan mengadakan sesi libat urus berterusan bagi membuat keputusan konklusif sama ada mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3 atau sebaliknya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak itu penting bagi menilai keputusan terbaik dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu melakukan satu kajian untuk menilai keberkesanan UPSR dan PT3 sebelum membuat apa-apa keputusan.

Katanya, data-data dalam bentuk kajian perlu untuk mengesahkan sama ada UPSR dan PT3 itu dapat memberi manfaat besar kepada pembelajaran anak-anak atau sebaliknya.

“Jadi, menggabungkan data dari segi libat urus dan kajian pendidikan itu akan memberi kita lebih kuat untuk buat keputusan sama ada mahu meneruskan atau memansuhkanya terus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN