Isu beras: Cari penyelesaian berdaya tahan, kalis cuaca

Isu beras: Cari penyelesaian berdaya tahan, kalis cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah menggunakan beras import di semua agensi kerajaan seperti asrama sekolah, kem tentera dan hospital adalah penyelesaian jangka pendek dalam usaha meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar keterjaminan makanan, Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, dalam masa sama, kerajaan perlu mencari alternatif yang mampu membawa kepada penyelesaian jangka panjang seperti menghasilkan sistem padi yang berdaya tahan.

“Kerajaan harus fokus kepada perubahan sistemik seper­ti meningkatkan produktiviti, bekalan padi dan beras agar bekalan sentiasa cukup untuk rakyat Malaysia terutama ketika berhadapan dengan ketidaktentuan cuaca yang boleh mempengaruhi penghasilan beras,” katanya ketika dihubungi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengulas laporan yang memetik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai berkata, semua agensi kerajaan termasuk asrama sekolah mungkin akan menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain mempersoal ke mana hilangnya bekalan beras tempatan yang menyumbang sebanyak 63 peratus keperluan beras negara.

“Setahu saya, negara kita keluarkan lebih 63 peratus beras yang diperlukan. Sebenarnya ada isu bungkus beras kita sebagai beras import, itu yang jadi tidak cukup,” katanya.

Katanya, kerajaan sepatutnya cakna dengan isu sebegitu de­ngan meletakkan penguat kuasa untuk menghentikan kegiatan itu daripada terus berlarutan.

Sementara itu, di Gua Musang, penduduk di kawasan luar bandar terpaksa membeli beras putih import berikutan bekalan beras putih tempatan masih sukar diperoleh di pasaran.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya beras putih import memenuhi rak tetapi dijual pada harga tinggi iaitu me­lebihi RM40 bagi 10 kilogram.

Seorang pengguna, Salmah Fauzi, 39, berkata, dia terpaksa membeli beras import walaupun harganya agak mahal kerana itu sahaja yang ada ketika ini.

Dia mengakui kos belanja bulanan kini mening­kat berikutan kenaikan harga beras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini