KAMPAR: Tragedi banjir lumpur yang menggemparkan negara pada 1996 yang meragut 44 nyawa belum dilupakan penduduk perkampungan Orang Asli di Pos Dipang, dekat sini.
Bencana alam pada 29 Ogos 1996 itu menyaksikan 39 mayat ditemukan bergelimpangan atau tertimbus manakala lima lagi tidak dapat dikesan sehingga hari ini, selain melenyapkan sama sekali rumah di perkampungan berkenaan.
Tapak perkampungan asal yang dilanda banjir lumpur 27 tahun lalu itu sudah lenyap dan kini dinaiki hutan.
Penduduk pula dipindahkan ke tapak lain iaitu kawasan penempatan baharu kira-kira 500 meter dari tempat asal, namun trauma terhadap tragedi itu kekal menghantui mereka terutama yang menjadi saksi dan terselamat dalam tragedi berkenaan.
Seorang penduduk yang berdepan detik cemas itu, Alang Bah Ayunyang, 57, berkata, walaupun secara fizikalnya kesan tragedi di tapak perkampungan lama sudah tiada, ia tetap berbekas dalam hati dan ingatannya.
Dia yang menyaksikan kejadian itu berlaku di depan matanya berkata, setiap kali hujan lebat, fikirannya pasti terkenang tragedi tersebut dan bimbang jika berulang kerana ia berlaku selepas hujan lebat.
“Setiap kali melihat awan hitam di puncak gunung, hati saya berasa bimbang, sentiasa berjaga-jaga, takut peristiwa hitam di kampung ini berlaku lagi.
“Apatah lagi sebelum tragedi itu berlaku, hujan sejak dari awal petang sebelum kepala air dari sungai berdekatan menghentam perkampungan kami. Ia turut membawa bersama batang dan kayu-kayu pokok dari arah gunung di belakang perkampung ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Alang yang kini merupakan Tok Batin di kampung tersebut berkata, peristiwa itu memberi kesan mendalam kepada perkampungan itu yang wujud lebih 100 tahun.
Katanya, apabila hujan tidak henti, pernah berlaku kejadian kepala air di kampung itu tetapi mujurlah ia tidak sebesar seperti tahun 1996.
UMPAMA SERANGAN OMBAK SETINGGI ENAM METER
Dalam pada itu, Alang berkongsi bagaimana dahsyatnya banjir lumpur yang bagaikan satu serangan ombak besar setinggi 20 kaki atau enam meter membawa batang dan dahan pokok.
Mengimbau kembali detik itu, katanya, apa yang terjadi pada hari tersebut sekelip mata sahaja bermula dari segi tanda-tanda bakal berlaku musibah buruk, ternampak kepala air yang laju, dia cemas menyelamatkan diri sehinggalah melihat sendiri saat orang-orang kampung dihanyutkan banjir lumpur.
“Hujan sejak awal petang, saya mula berasa tak sedap hati. Masa itu pelik melihat banyak ikan secara tiba-tiba. Kepala air yang pertama tidak terlalu tinggi. Kemudian tiba-tiba, terasa gegaran dan bah kedua yang datang sangat tinggi.
“Batang dan kayu-kayu pokok seperti bergulung-gulung datang bersama air. Saya berlari dan menjerit minta penduduk masuk ke rumah,” katanya.

ORANG ramai melihat kesan dahsyat banjir lumpur yang membawa bersama batang dan kayu-kayu pokok dalam tragedi di Pos Dipang, Kampar, Perak yang meragut 44 nyawa pada 29 Ogos 1996.
Beliau antara 30 orang yang terselamat apabila rumah yang dimasuki mereka tidak ditelan arus deras banjir lumpur kerana beberapa batang pokok kayu menjadi penghalang yang memperlahan tolakan banjir.
Alang mengingati ada penduduk kampung terselamat kerana berpaut pada dahan pokok walaupun bertubi-tubi menerima tekanan air deras dan ada yang tidak bernasib baik ketika cuba menyelamatkan diri masing-masing dan keluarga.
Penduduk yang tidak berjaya melarikan diri umpama tenggelam timbul dibaham arus deras, terhentak atau tercucuk dahan kayu.
“Kami yang berada di dalam rumah itu berserah kepada tuhan. Kami semua seolah-olah menunggu masa bilakah rumah ini pula akan roboh dan dihanyutkan oleh banjir. Namun akhirnya lega apabila rumah ini selamat,” katanya.
Apabila keadaan tenang dan membuka pintu rumah jelasnya, rumah yang terselamat itu bagaikan pulau ditengah-tengah lautan air banjir lumpur.
Dalam tempoh 24 kejadian tersebut, pasukan keselamatan terdiri daripada polis, bomba dan pelbagai lagi mengadakan pelbagai misi mengesan dan menyelamat mangsa.
Katanya, ada mangsa yang mati bergelimpangan termasuk mereka yang ditusuk dahan pokok.
Malah jelasnya, paling menyayat hati ialah melihat mayat seorang ahli keluarga yang hanya menunggu masa untuk melahirkan anak, terkorban dengan separuh badan bayinya terkeluar dari rahim.
BENTUK DIRI LEBIH CEKAL
Begitupun peristiwa banjir lumpur tersebut telah membentuk kecekalan dalam diri penduduk setempat. Suasana di kampung sentiasa tenang, namun jelas Alang, sikap berhati-hati pasti diamalkan setiap kali musim hujan.
Katanya, penduduk kampung itu yang kini kebanyakannya terdiri daripada generasi baharu meneruskan kehidupan biasa dengan dilengkapi kemudahan elektrik, sekolah dan dewan orang ramai.
“Saya menasihatkan sekiranya ada orang yang ke kawasan tersebut, maklumkan kepada pihak berkuasa atau penduduk tempatan terlebih dahulu kerana khuatir kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
OPERASI MENCARI, MENYELAMAT PALING SUKAR
Hampir 1,000 anggota dan agensi keselamatan dikerah terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi banjir lumpur Pos Dipang pada 1996 itu.
Menceritakan kembali peristiwa tersebut, Shaharudin Tuan Ali yang bertugas di Balai Bomba Tapah pada masa itu berkata, mereka menerima panggilan pertama pada pukul 5.55 petang daripada Balai Bomba Kampar tentang kejadian tersebut.
Atas arahan yang diterima, dalam tempoh beberapa minit sahaja beliau bersama pasukannya bergegas ke Pos Dipang.
Dalam perjalanan ke lokasi dituju, timbul tanda tanya dalam kalangan mereka apakah bentuk bencana yang berlaku dan cabaran yang perlu ditempuhi dalam operasi berkenaan.
“Semasa bergerak, saya terfikir betulkah kejadian ini sebagai tanah runtuh dan banjir lumpur kerana tragedi seperti ini belum pernah berlaku di Malaysia. Jadi kita tertanya-tanya adakah ini satu panggilan palsu,” katanya.
Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian dengan cuaca masih hujan renyai, pasukannya mendapati kawasan itu penuh dengan longgokan balak, kayu dan lumpur manakala jambatan telah runtuh akibat kesan banjir lumpur tersebut.
Bermula dari detik itu, Shaharudin bersama rakan-rakan sedang berdepan satu tragedi nasional yang mendapat perhatian seluruh negara dan memakan masa lama untuk diuruskan.
LALAT JADI PANDUAN KESAN MANGSA
Pasukannya terus memulakan langkah menyelamat apabila mendapati ada beberapa mangsa yang masih hidup. Katanya, operasi sangat mencabar terutama dengan kelengkapan yang terhad.
“Banyak mangsa yang kita jumpa. Ada yang tertiarap, terlentang, ada yang nampak kepala atau kaki sahaja,” katanya.
Disebabkan arus banjir yang masih berlaku, dengan semua pihak sedang mendapatkan maklumat sebenar kejadian, operasi memakan masa yang agak panjang sehingga ke larut malam dan berterusan untuk beberapa hari.
“Antara lain cara kita mengesan mangsa berdasarkan bau (mayat). Selepas dua tiga hari sudah berbau. Satu panduan lagi ialah lalat. Apabila lalat yang banyak di sesuatu kawasan, kita akan cuba gali. Kebanyakan yang kita gali, ada mangsa (tertimbus),” katanya.
Kata beliau, operasi dan menyelamat terus digerakkan dengan bantuan tambahan tiba secara berperingkat melibatkan anggota bomba di seluruh Perak.
Katanya, operasi disertai oleh pelbagai agensi beruniform lain termasuk orang-orang kampung sendiri. Operasi mencari dan menyelamat melibatkan keluasan mencecah lebih 50 kilometer itu berlangsung selama hampir sebulan.
Malah dilaporkan, terdapat mayat mangsa tragedi banjir lumpur itu dijumpai hanyut melalui sungai kira-kira 48 kilometer dari tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kampar, Kapten Jasri Mohd. Yusof yang turut terlibat dalam misi yang sama berkata, meskipun bencana itu sudah lama berlaku beliau masih mengingati beberapa kenangan operasi yang dijalankan.
Beliau membayangkan semula cabaran dan kesukaran yang terpaksa ditempuh pasukannya yang mengharungi keadaan berlumpur dan menyelamatkan mangsa.
Antara kesukaran yang dihadapi adalah dari segi kelengkapan, keadaan berlumpur menghampiri separuh badan selain keadaan lokasi pada masa itu yang tiada kemudahan untuk membuang air.
“Sepanjang kawasan kejadian penuh lumpur. Masa hendak ke tempat kejadian, penuh dengan halangan kayu balak, pokok tumbang. Memang mencabar,” katanya.
Malah katanya, kehadiran orang ramai termasuk ada yang berhenti di tepi lebuh raya untuk melihat operasi yang dijalankan seperti memberi semangat untuk gigih melaksanakan operasi.
Pasukannya juga berasa pilu melihatkan waris-waris mangsa yang kesedihan melihat keluarga mereka yang mati. Namun katanya, timbul juga rasa lega kerana mayat dapat dijumpai dan sekurang-kurangnya dapat dikebumikan dengan oleh waris mengikut tradisi masing-masing.
Jelasnya, kejadian yang berlaku itu turut memberi kesan kepada habitat haiwan kerana ada turut dijumpai bangkai haiwan liar.
Operasi mencari dan menyelamat itu dihentikan pada 11 September 1996 iaitu selepas 13 hari kejadian berlaku.
PENEMPATAN BAHARU LEBIH MODEN
Diduduki kira-kira 500 orang terdiri daripada Orang Asli kaum Semai, suasana perkampungan Pos Dipang hari ini tenang, bersih dan cantik dikelilingi bukit yang menghijau.
Pada hari-hari biasa, kampung itu agak sunyi kerana ramai yang keluar bekerja terutama peringkat umur belia dan hanya tinggal golongan ibu, warga tua serta kanak-kanak.
Struktur perkampungan yang ada hari ini nampak padat, tersusun dan terancang bersama kemudahan pendidikan, kesihatan serta keadaan jalan yang selesa terutama laluan utama. Keadaan itu dicapai hasil pelaksanaan program pemindahan dan perancangan semula kampung ekoran tragedi banjir lumpur pada 27 tahun lalu.
Penempatan baharu itu menghimpunkan lebih 30 buah rumah dan terletak lebih 500 meter jauh dari tempat asal tepi sungai iaitu lokasi sebenar kampung yang dilenyapkan semasa banjir lumpur.
Meskipun masih ada lagi beberapa infrastruktur dan kemudahan lain yang perlu dipertingkat, rata-rata penduduk di situ selesa untuk menjalani kehidupan harian.

Sementara itu, kerajaan negeri sedia membantu Arkib Negara Malaysia (ANM) bagi mengumpul dokumentasi berkaitan tragedi Pos Dipang.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, usaha positif itu penting bagi memastikan sejarah bencana alam berkenaan dapat menjadi rujukan dan dikongsi kepada masyarakat.
“Proses dokumentasi penting dalam merakam peristiwa sejarah supaya jadi pengajaran dan pedoman kepada kita semua. Apa jua bantuan yang diperlukan, kerajaan negeri akan salurkan sama ada daripada sudut kewangan dan lain-lain,” katanya.
Sivanesan berkata, proses dokumentasi tragedi itu bagaimanapun memerlukan tempoh masa panjang untuk dilengkapkan.
“Ada sedikit peninggalan kesan di Sekolah Kebangsaan Pos Dipang manakala yang lain masih dikumpulkan selain bahan yang disiarkan pihak media. Pihak ANM juga mengharapkan sekiranya sesiapa yang mempunyai kisah atau bukti berkenaan tragedi tersebut boleh dikongsikan supaya boleh direkod untuk tatapan masa hadapan dan sebagai panduan,” katanya.
Menurutnya, Majlis Pengkisahan Sejarah Pos Dipang: Tragedi 29 Ogos 1996 anjuran ANM di Ipoh baru-baru ini dapat memperingati dan menceritakan semula kejadian banjir lumpur yang berlaku pada tahun 1996 itu.
“Perkongsian detik-detik cemas mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dan seterusnya dapat disebar luas dan dikongsikan kepada masyarakat,” katanya.
Malah Sivanesan berkata, sewaktu menerima kunjungan pihak ANM Perak dan dibentangkan kertas cadangan sejarah Pos Dipang, beliau teruja kerana baginya peristiwa itu penting untuk disebarkan kepada masyarakat.
“Sewaktu meninjau kawasan tragedi itu, saya rasa sedih akan kejadian tersebut terutama melihat kawasan perkuburan mangsa-mangsa telah dipenuhi semak samun dan tidak bertanda.
“Untuk itu, tugu peringatan juga akan dibina di kawasan kejadian bagi memperingati mangsa terkorban selain kita gazetkan ia sebagai kawasan larangan daripada sebarang aktiviti,” katanya.
Sementara itu, usaha ANM yang baru-baru ini melancarkan pengkisahan sejarah Pos Dipang bertujuan untuk merekod dan berkongsi detik-detik cemas mangsa, saksi kejadian serta pasukan penyelamat yang terlibat dalam tragedi tersebut, agar dapat didokumentasi sebagai rujukan rakyat Malaysia.
Adalah penting untuk merekod dan mengumpul bukti supaya menjadi rujukan dan juga pengajaran.
Langkah itu bakal memberi makna tersendiri kepada Pos Dipang dan penduduk agar terus mendapat perhatian ramai pihak, lebih-lebih lagi kampung berkenaan berada jauh ke pedalaman dari pekan Kampar. – UTUSAN










