Long Nan ada jumpa saya... - Utusan Malaysia

Long Nan ada jumpa saya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MENJADI kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak 1986, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai penting bagi menyekat kemaraan gelombang hijau di Pahang.
Apatah lagi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, ia menjadi medan perhitungan sengit untuk BN mengimbangi kedudukan kerusi DUN Pahang. Dengan berbaki lebih kurang seminggu, segala kemungkinan boleh berlaku.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan JUANI MUNIR ABU BAKAR menemu ramah calon BN DUN Pelangai DATUK AMIZAR ABU ADAM bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurugambar, SHAIKH AHMAD RAZIF

PUSINGAN PERTAMA KEMPEN
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana penerimaan penduduk setakat ini selepas pusingan pertama berkempen? Mampukah BN kekal bertahan di DUN Pelangai?
AMIZAR: Apa yang saya boleh katakan, pertama kali kita perlu ingat, kita bukan hanya mampu bertahan tetapi wajib mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO di Pahang sebelum ini.
Saya yakin pengundi sekarang lebih bijak dan mereka akan terus undi kita. Malah, saya yakin akan berlaku peningkatan undi berbanding dalam siri pilihan raya lalu. Mengapa saya katakan begini? Sebab, saya lihat sewaktu saya turun berjumpa mereka dan melihat situasi sebenar dalam tempoh pusingan pertama berkempen.

PENGARUH LONG NAN
Pengaruh penyandang DUN Pelangai sebelum ini Tan Sri Adnan Yaakob dan kenyataannya bahawa ‘UMNO dah bungkus lipat’. Sejauh mana Datuk melihat kesannya?
Yang berbahagia Adnan atau kami panggilnya sebagai Long Nan tidak pernah keluarkan kenyataan yang sama selepas daripada kenyataan tersebut. Mungkin ada pihak salah anggap, kononnya beliau mahu beralih arah susulan kenyataan berkenaan.
Namun hakikatnya, beliau masih menyokong BN dan ada datang sewaktu penamaan calon. Ini sekaligus menjadi bukti jelas bahawa beliau bersama dengan kami.
Malah, beliau secara peribadi bertemu dengan saya dan mengatakan bahawa beliau bersama dengan BN. Jadi, ini bukti beliau tidak pernah dan tidak akan pergi kepada PN. Saya yakin pengaruhnya mampu membantu BN nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

TIDAK TERJEJAS DENGAN ISU NASIONAL
Adakah isu nasional seperti harga beras dan keputusan mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi kesan?
Di sini keadaan agak berbeza sedikit. Ia tidaklah sampai memberi kesan apabila adanya isu-isu di peringkat nasional.
Untuk BN di sini, kita mahu memberi fokus mengekalkan prestasi dan bagi saya kerajaan negeri sebenarnya sudah melaksanakan pelbagai kerja. Ini bukti yang kita mahu tunjukkan kepada pengundi bahawa kita telah kekalkan prestasi. Sebab itu, pada saya kerajaan negeri ini memang terbaik dan segalanya sudah dibuat. Ada bukti-bukti yang boleh ditunjukkan kepada pengundi.
Apa yang kita lakukan sebenarnya sudah cukup menunjukkan gerak kerja yang dibuat lebih penting dan berjaya berbanding permainan persepsi sebagaimana dilakukan pembangkang.

Adakah kehadiran pemimpin utama termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak memberi kelebihan menarik lebih banyak undi?
Kami kalau boleh mahu lebih ramai pemimpin utama datang. Tidak kira sesiapa pun sebab setiap pemimpin ada pengikut sendiri dan sesiapa yang hadir serta membantu, saya ucapkan terima kasih. Apa yang diusahakan ini diharapkan boleh memberi impak besar pada DUN Pelangai.

PELANGAI MUNDUR
Ada berpandangan BN sudah lama ‘memegang’ DUN Pelangai tetapi masih mundur. Komen Datuk?
Itu pun sebenarnya persepsi. Sesiapa yang tidak duduk di Pelangai, dia akan berkata begitu walhal keadaan sebaliknya. Kita sudah ada buat pembangunan. Jalan raya sebagai contoh dan infrastruktur lain.
Pada saya, sebenarnya ada perkara posisitf yang pembangkang tidak nyatakan. Mereka hanya keluarkan perkara negatif kerana mahu menyerang kita. Apa yang kami boleh lakukan adalah kekalkan prestasi dan menolak persepsi.

PUSINGAN KEDUA
Minggu depan bakal memasuki pusingan kedua tempoh berkempen. Adakah BN mampu kekalkan momentum penerimaan pengundi setakat ini?
Sudah tentu setiap pertandingan kita mahukan kemenangan dengan gerak kerja yang lebih baik dari semasa ke semasa. Kita hakikatnya tiada parameter atau peratusan menyeluruh daripada segi gerak kerja atau jumlah kawasan yang telah kita pergi.
Akan tetapi kita ada touch point (titik sentuh) yang sudah mencecah 55 peratus. Sekarang ini pun masih di peringkat permukaan (awal) lagi dan kita akan pergi satu persatu dengan lebih giat. Begitu juga dalam usaha menangkis isu-isu yang yang diutarakan kepada kita. Sebagai contoh, masalah bas yang menjadi keperluan. Begitu juga pendidikan.

 

Siapa kata kempen PN sendu?

Mukadimah
ENTAH di masa silapnya, ada pihak yang melihat kempen calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRK DUN Pelangai Sendu. Malah, penerimaan masyarakat di kawasan tersebut juga tidak menggalakkan sebagaimana yang diterima calon BN.
Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran awal keputu­san yang bakal diperoleh PN pada minggu depan. Justeru, wartawan Mingguan Malaysia menemu ramah calon PN, KASIM SAMAT bagi mendapatkan pandangan beliau.

Bagaimana kempen pusingan pertama untuk PN setakat ini?
KASIM: Kempen setakat ini berjalan lancar melalui Lajnah Perpaduan Nasional dengan menerusi banyak program pelbagai kaum termasuklah pesta tanglung dan kuih bulan membabitkan masyarakat Cina.
Malah kita pernah buat tahun lepas perjumpaan silang budaya antara kaum Melayu, Cina dan India di Sungai Ruan dan penyertaan semua sangat memberangsangkan. Jadi, penerimaan dan sokongan masyarakat itu ada.
Lagipun di DUN Pelangai ini banyak bekas murid saya. Apabila mereka murid saya sudah tentu mereka rapat dengan saya dan tahu mengenai saya. Insya-Allah anak muda akan beralih kepada PN menerusi gelombang hijau.

Dalam PRU sebelum ini dikatakan undi banyak pergi kepada BN dan PH. Untuk kali ini bagaimana?
Kita akan pergiatkan lagi dengan mendekati mereka (kaum bukan Melayu) menerusi program ziarah sebagaimana kita buat di kawasan Melayu.
Kalau kita lihat sekarang (sambutan kaum bukan Melayu kurang memberangsang) mungkin kerana ada yang takut untuk hadir. Bimbang ada rakan-rakan melihat mereka nanti.
Usaha untuk mendekati semua kaum tanpa berbelah bahagi itu tetap ada dan saya akan terus bekerja dan bekerja demi memastikan kemenangan.

Adakah isu nasional sekarang sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada PN untuk meraih sokongan?
Mungkin. Ini disebabkan semuanya terkesan dengan apa yang berlaku tanpa mengira bangsa dan agama.

Mengapa kempen saudara tidak kelihatan begitu agresif?
Sekarang kita sudah laksanakan (berkempen) dan ia memang agresif. Kita juga buat ikut jadual yang telah disusun oleh jentera saya.

Bimbang dengan peratusan keluar undi akan rendah terutama pengundi luar?
Saya rasa tidak juga. Sebab mereka akan ambil peluang kali ini daripada gelombang yang ada. Kita hubungi pengundi luar melalui media sosial dan telefon. Insya-Allah mereka yang berjumlah lebih 2,000 ini akan balik.

Bagaimana dengan pusingan kedua kempen nanti ?
Saya yakin dan sangat positif dan berharap pengundi yang berada di DUN Pelangai terus memberi peluang kepada PN. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini