Tiga beradik popularkan batik tekapan daun

Tiga beradik popularkan batik tekapan daun

SURAIZAM Saad (kanan) dan Suraini menunjukkan pelbagai jenis produk batik cetakan eko yang menggunakan tekapan serta tempelan daun pada Festival Kraftangan Utara (FKU) 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, semalam. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tiga beradik dari Langkawi mempopularkan produk batik dengan teknik cetakan eko iaitu menggunakan tekapan pelbagai jenis dedaun sehingga menghasilkan corak yang cantik dan menarik.

Suraizam Saad, 49, bersama dua adiknya, Suraini dan Suhaila, 40, menceburi bidang tersebut sejak tiga tahun lalu hasil bimbingan Kraftangan Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suraizam berkata, berbeza dengan batik biasa, cetakan eko itu hanya menggunakan bahan-bahan semula jadi dan lebih mudah dihasilkan.

“Kami menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti kayu nangka, daun dan akar secang untuk menghasilkan warna pada fabrik sebelum ditekap dengan daun.

“Untuk corak pula terdapat dua jenis teknik iaitu plating dengan mengetuk daun pada fabrik atau rebusan yang mana daun ditempel pada kain sebelum digulung dan direbus bersama tawas selama dua jam. Kedua-dua teknik ini menghasilkan tekstur yang berbeza,” katanya ketika ditemui di Festival Kraftangan Utara (FKU) 2023 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini, semalam.

Menurut Suraizam, setiap cetakan tersebut mengambil masa sehingga 10 hari sebelum dijadikan pelbagai jenis kraftangan daripada kemeja-T, beg, dress sehingga selendang.

“Fabrik yang digunakan adalah kain kapas dan lycra. Selendang dari lycra ini antara yang sangat popular terutama dalam kalangan pelancong di Langkawi. Bengkel kami di rumah dekat Gunung Raya sementara produk batik ini dijual di Kraftangan Malaysia Langkawi.

Menurut bekas pekerja swasta itu, dia dan dua adiknya itu yang juga merupakan kembar seiras menceburi bidang tersebut selepas hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19 pada 2019.

“Kami bertiga memang tidak bekerja ketika pandemik dan ambil keputusan untuk menghadiri pelbagai jenis kursus membuat batik ini. Berkat bimbingan agensi terlibat, kami buka bisnes ini,” katanya.

Katanya, setiap produk batik itu dijual dari harga RM10 sehingga RM500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×