Pemandu van tampar, pukul anak tiri guna lesung didenda RM12,000

Pemandu van tampar, pukul anak tiri guna lesung didenda RM12,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van pelancong didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua kesalahan menganiaya dua anak tirinya, Ogos lalu.

Tertuduh, Joharis Mahmod, 48, juga boleh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, lelaki itu turut diperintahkan untuk menjalankan khidmat masyarakat selama 72 jam dalam tempoh enam bulan di samping dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 bagi seorang penjamin.

Hukuman itu ditetapkan Hakim Suhaila Haron selepas tertuduh mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua orang kanak-kanak, masing masing berumur 17 dan 9 tahun di sebuah unit pangsapuri, di Pudu Impian 2, Cheras, di sini, pada pukul 10.30 malam, 13 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, satu aduan telah dibuat oleh seorang guru sekolah selepas mendapati terdapat kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa sebelum satu siasatan dijalankan yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh bertindak menampar pipi kiri dan kanan mangsa pertama (9 tahun) sebanyak lima kali selain telah memukul mangsa kedua (17 tahun) menggunakan alu lesung batu dan seterika.

Hasil laporan perubatan mengesahkan mangsa pertama mengalami kecederaan lebam di kedua-dua bahagian pipi manakala mangsa kedua disahkan mempunyai pelbagai kesan lebam di bahagian belakang badan dan kulit kepala.

Pihak polis turut merampas sebiji anak lesung batu dan sebuah seterika yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dikenakan kepada Joharis serta ibu bapa di luar sana agar bertanggungjawab menjaga anak-anak yang diamanahkan.

“Saya juga mohon untuk mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam untuk memberikan isyarat yang jelas kepada orang awam di luar sana

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan hanya berpendapatan RM3,500 untuk menanggung lima anak tiri dan isteri yang tidak bekerja.

“Saya minta diringankan sebab saya menanggung isteri yang tidak bekerja dan anak-anak. Saya berjanji saya tidak akan ulangi (kesalahan) lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×