BALIK PULAU: Jabatan Perikanan (DOF) meminta nelayan di sekitar Empangan Klau, Raub, Pahang supaya tidak membuang sebarang ikan yang mempunyai ciri menyerupai piranha, sebaliknya, menyerahkan hidupan akuatik itu kepada mereka bagi membolehkan pengesahan spesies dibuat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, langkah itu penting berikutan pihaknya masih belum memperoleh spesimen fizikal ikan yang dirakam menerusi video dan didakwa menyerupai piranha di empangan berkenaan.
”Berdasarkan analisis awal bersama Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi di Negeri Sembilan serta morfologi dalam video yang dirakam seorang nelayan, ikan itu menghampiri spesies piranha.
”Bagaimanapun, kita tidak dapat membuat pengesahan kerana tiada spesimen fizikal. Nelayan yang memperoleh ikan berkenaan telah membuangnya. Jadi, jangan buang atau lupuskan sebarang ikan yang disyaki piranha, tetapi serahkan kepada DOF supaya kita dapat membuat pengesahan rasmi,” katanya selepas merasmikan Pusat Pendidikan Marin di Hotel Angsana, Teluk Bahang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya perlu meneliti ciri fizikal ikan termasuk morfologi, sisik dan gigi bagi menentukan sama ada ia benar-benar piranha atau spesies lain seperti pacu.
Katanya, dalam hal ini, DOF Pahang juga sudah menghubungi nelayan di sekitar Empangan Klau supaya menyimpan dan menyerahkan kepada pihaknya sekiranya menemui ikan yang mempunyai ciri menyerupai piranha.
”Buat masa ini, kita tidak mempunyai spesimen fizikal lagi dan hanya boleh membuat kesimpulan bahawa ikan dalam video itu menghampiri spesies piranha, manakala spesiesnya belum dapat disahkan,” katanya.
Adnan berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Aquawalk Group Berhad dan Aquaria KLCC yang mempunyai spesimen hidup piranha serta data DNA bagi membantu mengenal pasti ikan berkenaan.
”Kita akan bekerjasama dengan pihak Aquaworks dan Aquaria untuk mengenal pasti sama ada ikan yang ada di Empangan Klau itu melalui eDNA (DNA persekitaran) atau DNA daripada spesimen sendiri. Kaedah itu diharap dapat membantu menentukan spesiesnya, sama ada benar piranha atau pacu,” katanya.
Ditanya mengenai kemampuan piranha untuk hidup dan membiak di perairan Malaysia, beliau berkata secara teorinya, spesies berkenaan boleh menyesuaikan diri dengan ekosistem tempatan.
”Ekosistem asal piranha ialah Sungai Amazon di Brazil yang beriklim khatulistiwa seperti kita. Jadi, secara umumnya ia boleh membiak dalam ekosistem kita. Malah, terdapat ikan dari Amazon seperti Arapaima Gigas dan Alligator Gar yang boleh hidup dalam ekosistem kita,” katanya. – UTUSAN











