Syarikat teknologi perlu tingkat pelaburan di universiti

Syarikat teknologi perlu tingkat pelaburan di universiti

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi dan telekomunikasi perlu meningkatkan pelaburan di universiti bagi menyokong pembangunan idea serta teknologi sebelum dibawa kepada penggunaan dunia sebenar.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, universiti perlu mempunyai kesalinghubungan bertaraf terbaik supaya pelbagai idea teknologi dapat diuji dan dibangunkan dalam persekitaran sesuai.

Menurutnya, syarikat teknologi dan telekomunikasi sepatutnya melihat universiti sebagai tempat membentuk generasi pengguna yang akan menggunakan produk serta perkhidmatan mereka pada masa depan.

“Pelajar bukan hanya kumpulan yang menerima pengetahuan atau menguji sesuatu idea, sebaliknya bakal menjadi sebahagian daripada generasi pengguna dan pembeli teknologi.

“Pendedahan kepada teknologi ketika berada di universiti berpotensi mempengaruhi tabiat penggunaan serta pendekatan mereka terhadap kemajuan teknologi dan kesalinghubungan selepas memasuki alam pekerjaan.

“Oleh itu, perubahan tingkah laku pengguna itu penting bagi membantu membawa inisiatif perintis serta teknologi yang diuji di universiti ke dunia sebenar,” katanya pada majlis University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jika universiti hanya dilihat sebagai tempat untuk menguji dan menjalankan projek perintis tanpa mengambil kira pembentukan tabiat pengguna, peluang memperluas inovasi menjadi terhad.

Katanya, kerjasama lebih erat antara industri dan ahli akademik boleh mengubah pendekatan terhadap universiti daripada sekadar tempat pemindahan ilmu kepada asas pembentukan masyarakat digital masa depan.

“Perubahan perspektif itu penting bagi membantu Malaysia bergerak daripada peringkat menguji idea dan teknologi kepada aplikasi dunia sebenar yang lebih meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×