PETALING JAYA: Sebanyak 250,727 daripada 1.2 juta kes kemalangan yang berlaku di seluruh negara sepanjang tahun 2021 hingga Ogos tahun ini dan meragut 13, 516 nyawa berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan.
Antara kecuaian yang dikenal pasti ialah pemandu mengekori rapat kenderaan lain, mengantuk, leka dan sebilangan kes lagi membabitkan pemandu `bermain’ telefon bimbit dan berangan.
Daripada 13,516 kematian direkodkan sebanyak 4,247 kes kemalangan berlaku pada tahun 2021 diikuti 5,671 (2022) manakala 3,598 kes untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim berkata, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) punca nahas tertinggi disebabkan pemandu mengekori kenderaan lain dengan harapat iaitu 81,136 kes.
Menurut beliau, bagi mengelakkan kemalangan, jarak ditetapkan bagi setiap kenderaan mesti dalam lingkungan dua hingga empat buah kenderaan.
“Sebanyak 59,032 kes kemalangan lagi berpunca daripada pemandu tidak nampak atau tidak perasan kenderaan lain termasuk ada yang menggunakan telefon bimbit.
“Selain itu, sebanyak 46,786 kes kemalangan berlaku ketika pemandu atau penunggang motosikal cuai ketika mahu keluar simpang,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
NAHAS
Kata beliau, daripada jumlah kemalangan tersebut juga sebanyak 33,168 kes nahas berlaku ketika pemandu cuba atau sedang memotong kenderaan lain manakala 30,605 kes lagi akibat pemandu leka, berangan dan mengantuk.
Kata Mat Kassim, punca-punca lain kemalangan yang dikenal pasti ialah pemandu memandu laju, melanggar lampu isyarat, terbabas sendiri serta melanggar aliran trafik yang ditetapkan.
“Sejak 2021 hingga Ogos lalu, sebanyak 1.2 juta kemalangan dicatatkan, kes tertinggi dilaporkan berlaku pada 2022 dengan sebanyak 545,588 kes.
“Bagi 2021 pula sebanyak 370,286 kes kemalangan direkodkan selain pada Januari sehingga Ogos sebanyak 344,207 kes,” katanya.
Kata beliau, sebanyak 13,516 kematian direkodkan iaitu 4,247 kes pada 2021, 5,671 (2022) dan Januari lalu sehingga Ogos sebanyak 3,598 kes.
Mat Kassim berkata, jalan bandaran direkodkan sebagai lokasi tertinggi kerap berlaku kemalangan apabila sebanyak 163,405 kes dilaporkan.
“Sebanyak 61,977 kes kemalangan berlaku di jalan negeri diikuti jalan persekutuan (45,707 kes) lebuh raya (37,803 kes) dan jalan lain- lain (35,315 kes),” katanya.
Dalam pada itu, menurut Mat Kassim, berdasarkan statistik, sebanyak 4,306 kes yang dilaporkan pada 2022, mangsa-mangsa mengalami cedera parah diikuti pada 2021 (3,480 kes) dan tahun ini (1,893 kes).
Kata beliau, pada 2022 sebanyak 29,730 kes lagi mangsa mengalami cedera ringan diikuti pada 2021 (15,050 kes) dan bagi tahun ini (18,378 kes).
Pada 25 Mac lalu, kecuaian pengawal keselamatan yang memandu dalam keadaan mengantuk dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan pejalan kaki dan isteri pengawal keselamatan di Kilometer 55 Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Merchong, Pekan di Pahang.
Pada 14 Jun lalu, seorang anggota polis bantuan maut selepas seorang pemandu lori gagal mengawal kenderaanya dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), Batu Kawan di Pulau Pinang.
Kejadian tersebut berlaku apabila pemandu lori terbabit dipercayai memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. – UTUSAN










