Mukadimah
LEGENDA permotoran negara ini pernah terjebak dalam dunia mat rempit satu masa dahulu dan sering menjadikan jalan raya sebagai tempat ‘permainan’.
Bagaimanapun, situasi sudah berbeza dan litar lumba menjadi tempat beliau mengukir nama termasuk di peringkat antarabangsa.
Wartawan Mingguan Malaysia menemu ramah bekas pelumba MotoGP negara, SHAHROL YUZY AHMAD ZAINI bagi mendapatkan pandangannya.
Apa perbezaan mat rempit dulu dan sekarang ?
SHAHROL YUZY: Masa zaman saya, tiada aktiviti berkumpul dalam jumlah besar. Kami hanya berkonvoi sesama rakan lain. Kalau 100 atau 50 motor, itulah jumlahnya. Tiada bertembung dengan kumpulan lain yang boleh ‘memecahkan’ suasana.
Sekarang apabila pergi majlis atau karnival besar, akan ada pertembungan dengan kumpulan lain. Kalau sudah bertembung, pasti ada yang cuba membangkitkan suasana supaya ‘meriah’.
Berbeza dengan dahulu, apabila kami berkonvoi memang ada yang ‘gila’ buat pelbagai aksi atau cuba nak berlumba. Tapi kami tahu perangai masing-masing dan biarkan sahaja. Kalau ‘gila’ antara sesama kumpulan sahaja. Sekarang kalau jumpa kumpulan lain, itu yang jadi berpanjangan.
Adakah penganjuran karnival permotoran membantu mengurangkan masalah mat rempit?
Sebenarnya program sebegini bagus untuk berkumpul sesama kumpulan. Tapi bagaimana dengan pengisian? Ia perlu berbalik kepada objektif atau tentang apa sebenarnya?
Kalau ada penglibatan JPJ dan PDRM , perlu ada taklimat untuk mereka sebagai contoh. Ini penting supaya jadi lebih berfaedah. Memanglah ada hadiah sebagai tarikan selain untuk show off yang mereka ada. Tapi akhirnya apa matlamat penganjuran?
Sebab itu, ada yang sanggup datang dari jauh. Boleh dikatakan satu Malaysia turun sebab nak tunjuk helmet, motor yang ‘garang atau apa sahaja aksesori, show off. Sama ada ini berguna atau tidak kepada mat motor.
Adakah menyediakan litar khas membantu mat rempit ‘melampiaskan’ minat mereka?
Susah. Walaupun ada litar setiap negeri atau daerah, aktiviti rempit tidak akan berkurangan. Salah satu sebabnya, penggunaan litar melibatkan kos. Kami hanya mencari keseronokan. Itu yang menyebabkan akhirnya beralih di kawasan bandar, buat aksi whillie.
Kemudian apabila banyak mata melihat terutama dalam kalangan anak muda, kami dilihat hero. Sebab itu, semakin lama semakin kita cuba mahu banteras, semakin ramai jadi mat motor atau mat rempit ini.
Sebenarnya perlu dilihat semula kepada pendekatan. Sebagai contoh, kita perlu terapkan di sekolah seawal umur 6 tahun lagi berbanding sewaktu 15 tahun. Jadikan ia sebagai kokurikulum juga. Sebab pada umur ini, mereka mahukan keseronokan tanpa memikirkan risiko.
Pempengaruh menyumbang kepada isu berkaitan mat rempit. Saudara setuju?
Pempengaruh ini kalau ikutkan ramai yang suka. Mereka jadi idola di media sosial. Bagi saya, jika diberi contoh yang baik, sudah pasti mereka ikut yang baik.
Kalau pempengaruh sudah tunjukkan motosikal, aksesori dan segala macam reka bentuknya, remaja akan lihat apa yang mereka lihat.
Apa yang menjadi masalah, adakah pempengaruh itu benar-benar memang berjiwa motor? Begitu juga kalau pempengaruh ini yang kaya, adakah betul-betul kaya dan menggunakan kereta mewah atau sekadar content?
Kita bimbang bagi mereka yang tidak mampu ini akan mudah terikut-ikut sehingga buat sesuatu yang tidak sepatutnya.
Benarkah masalah mat rempit dalam kalangan Melayu dilihat semakan parah?
Hendak kata parah tidak. Saya pun datang daripada kumpulan yang sama. Sampai satu peringkat saya berubah. Begitu juga dengan kebanyakan daripada mereka. Kami semua sudah melihat masa depan. Persoalannya, bagaimana kita mahu tanganinya terutama daripada peringkat umur yang masih muda.
Saudara antara mat rempit yang berjaya. Bagaimana mahu dijadikan sebagai contoh agar mereka juga mampu mencipta kejayaan seperti saudara?
Bagi saya mat rempit sebenarnya banyak berjaya dalam pelbagai bidang. Cuma jiwa mereka sahaja yang sukakan kelajuan dan motor. Lagipun pada peringkat umur 16 sampai 20 tahun, mereka sedang ‘ghairah’ dengan motor.
Bagi saya pada satu sudut, mat rempit atau lebih suka saya gelarkan sebagai mat motor ini ada peranan tersendiri. Tidak semuanya kosong. Ada juga yang jadi pensyarah atau kerjaya profesional. Cuma masalahnya jiwa mereka yang ‘dekat’ dengan motor. – Mingguan Malaysia










