Selagi ada motor, isu rempit tak ‘mati’ - Utusan Malaysia

Selagi ada motor, isu rempit tak ‘mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TIDAK pernah sikit pun ‘terpadam’ usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang masalah mat rempit.
Hampir setiap minggu, ada sahaja berita tangkapan atau penahanan golongan ini membabitkan pelbagai tempat dan negeri disiarkan di media termasuk yang terbaru penahanan lebih 100 motosikal membabitkan peserta Himpunan Yamaha RXZ atas pelbagai kesalahan trafik.
Bagaimanapun Kuala Lumpur yang turut terkenal dengan aktiviti tidak bermoral satu ketika dahulu, kini dilihat semakin berkurangan walaupun bukanlah secara keseluruhan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ASISTEN KOMISIONER SARIFUDIN MOHD. SALLEH bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN.

ISU REMPIT DI KL
MINGGUAN MALAYSIA: Isu ‘mat rempit’ masih serius di ibu kota?
SARIFUDIN: Di ibu negara ini, ‘mat rempit’ kita kategori kepada dua, sama ada yang bersifat ‘santai’ atau berlumba haram.
Boleh dikatakan setakat ini aktivit lumba haram agak terkawal dan bukanlah berlaku perlumbaan membabitkan kumpulan besar atau yang mahu bersaing. Kalau ada pun mereka sekadar mencuba-cuba sahaja prestasi motor mereka.
Kemudian yang kedua, pula ada yang bergerak dalam satu kumpulan. Akan tetapi kita tidak menamakan mereka sebagai mat rempit. Mereka ni sekadar pusing-pusing kawasan Kuala Lumpur. Dalam erti kata lain, bersosial bersama motosikal masing-masing.
Bagaimanapun, bukan kita kata tiada langsung masalah mat rempit ini di ibu negara. Cuma keadaan terkawal kerana kita selalu buat tangkapan kalau ada elemen rempit atau gangsterisme.

Bagaimana strategi menangani mat rempit yang berjaya membuahkan hasil?
Kalau di Kuala Lumpur, kita buat langkah pencegahan terlebih dahulu. Maknanya, ada pasukan khas di bawah unit penguatkuasaan iaitu Unit Risikan Operasi.
Unit ini akan diketuai pegawai berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP). Mereka akan mendapatkan maklumat dengan bergerak secara sulit bagi mengesan aktiviti lumba haram.
Mereka berpakaian preman setiap hari dan setiap malam sekiranya ada percubaan untuk aktiviti berkaitan rempit.
Selepas itu, kita akan buat elemen penguatkuasaan beruniform dan menampakkan diri kita bagi mengekang mereka daripada melakukan aktiviti yang tidak sah. Kita hendak tunjukkan kehadiran kita yang sentiasa berada di mana-mana sama ada dengan berpakaian preman atau beruniform.

KARNIVAL MOTOR DAN LITAR KHAS
Adakah penganjuran karnival permotoran atau kewujudan litar khas mampu mengawal gejala mat rempit?
Tahun lepas ada cubaan untuk mewujudkan perjumpaan kumpulan motor 125Z dan mereka mahu mengadakan ‘persidangan’.
Apabila kita mendapat maklumat daripada risikan, kita terus mengatur strategi dengan mengepung dan buat pemeriksaan. Pada masa itu, lebih 75 motosikal kita bawa balik dan segalanya diperiksa. Kita mendapati terdapat beberapa kesalahan dan strategi tersebut berjaya sebagai langkah pencegahan awal.
Awak bayangkan mereka mahu ‘bersidang’ dengan hanya menggunakan grup WhatsApp sahaja. Itu semestinya tidak sah dan segalanya boleh berlaku kalau ia diteruskan juga.

LAYAN DOUBLE STANDARD KAPCAI?
Segelintir pihak membandingkan layanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Ducati Bike Week dengan mat rempit yang disifatkan double standard. Komen?
Pihak penganjuran Ducati Bike Week memang ada memohon permit dengan Bukit Aman dan ia sah. Masalahnya kita tidak pernah terima permohonan daripada komuniti motor kapcai.
Setakat ini permohonan banyak daripada geng motor berkuasa tinggi. Tetapi harus dingat, walaupun permohonan diluluskan, mereka tetap dikawal sama ada ketika diiringi atau sewaktu pemeriksaan motorsikal sebelum bermulanya konvoi.
Saya tetap beritahu anggota untuk buat pemeriksaan sebelum konvoi dimulakan. Malah kita tetap keluarkan saman kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi termasuk mereka yang menyertai Ducati Bike Week.
Bagi yang tidak memenuhi tahap spesifikasi dan tidak cukup syarat (keselamatan dan undang-undang) memang kita tidak benarkan terus mereka pergi berkonvoi.
Jadi, tiada diskriminasi dan perlu melalui pemeriksaan PDRM. Yang motor kecil ini masalahnya kita tidak terima permohonan. Kalau mereka hendak buat penganjuran sebagaimana Ducati Bike Week itu boleh tetapi kena ikutlah undang-undang jalan raya. Itu hak dia untuk menganjurkan majlis dan hak kita buat pemeriksaan. Kalau cukup syarat tiada masalah.

Adakah masih ada kawasan ‘panas’ yang dijadikan trek lumba haram pada masa sekarang?
Macam saya katakan sebelum ini isu mat rempit ini tidaklah 100 peratus bersih. Ada sahaja maklumat kita dapat dan masih ada aktiviti seperti di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Itu sahaja hotspot. Kalau di bandar hanya pusing beramai-ramai atau berkumpul melepak sahaja seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan KLCC.

MELAYU PALING RAMAI MEREMPIT
Golongan mat rempit agak tinggi dalam kalangan Melayu. Pada pandangan tuan mengapa ia berlaku?
Boleh dikatakan 95 peratus daripada hasil tangkapan mat rempit ialah orang Melayu. Kaum Cina dalam dua tiga orang. Awak bayangkan sehingga Ogos lalu, jumlah tangkapan kita 257 dan 249 ialah orang Melayu. Dan untuk pengetahuan, Kuala Lumpur antara tempat yang mencatatkan jumlah tertinggi.
Kita bukan tangkap semberono. Ada kesalahan dan bukti-bukti lengkap dengan segala maklumat aktiviti ini seperti melakukan aksi berbahaya atau berlumba. Semuanya dirakam untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah.
Jadi mengapa orang Melayu paling ramai? Semuanya sebab budaya. Awak boleh lihat bagaimana ‘rapatnya’ orang Melayu dengan motosikal. Boleh dikatakan daripada ayah bawa ke anak ada motosikal. Begitu juga di peringkat sekolah. Rata-rata akan bercakap soal motosikal lebih-lebih lagi kalau cakap soal mahu memilikinya.
Di peringkat golongan muda, pada masa ini apabila ada motosikal mereka seronok mahu mencuba termasuk aksi-aksi berbahaya. Namun begitu, apabila sampai satu peringkat umur, mereka secara automatik akan tinggalkan aktiviti ini. Lagipun, anak muda Melayu suka melepak dan apabila berada dalam satu kumpulan, mereka akan membandingkan dengan kumpulan lain. Inilah budaya pada peringkat umur pada masa ini (18 sehingga 27 tahun).
Selepas itu muncul pula kumpulan baharu apabila kumpulan yang satu lagi umurnya semakin meningkat dan kehidupan semakin sibuk. Sebab itu juga isu rempit tidak akan habis dan ia trend sosial. Lihat dulu 125Z dan RXZ harga baru berapa? Tapi sekarang ia jadi mahal sebab trend. Begitu juga Y suku. Apabila ada pempengaruh yang beli dan ubahsuai pasti ada yang terikut-ikut.
Isu mat rempit ini merupakan satu proses berterusan dan berevolusi seiring dengan zaman. Ia tidak akan mati selagi ada motor.

SORONG MOTOR KE BALAI
Ada memberi pandangan menolak motosikal untuk ke balai apabila ditahan melanggar hak asasi. Komen tuan?
Saya berpandangan kalau ia hendak mendera itu melanggar hak asasi. Sebenarnya ia bergantung kepada jumlah tangkapan dan situasi pada masa itu. Kalau ditahan dalam kumpulan besar, sudah pasti kita terpaksa suruh mereka tolak atau mungkin kita akan iringi mereka untuk ke balai. Tapi kita tidak pernah suruh mereka tolak sampai lima kilometer (km).
Saya memang tahu dan prihatin soal hak kemanusiaan. Tapi masyarakat pada masa sama perlu faham, sebenarnya kaedah yang bagaimana kita boleh lakukan kalau tangkapan terlalu ramai? Kalau naik lori berapa yang boleh muat dalam satu-satu masa?Jadi, sebab itu kita suruh tolak motosikal atau mungkin kita iringi mereka untuk ke balai bergantung kepada keadaan apabila mereka ditahan.

Bagaimana dengan Ops Hormat Undang-Undang setakat ini. Adakah terdapat perkembangan positif dalam kalangan pemandu dan penunggang motosikal selepas ia dilaksanakan?
Alhamdulilah setakat ini semua maklum balas yang kita terima positif termasuk di media sosial. PDRM terutama di ibu negara cuba mendisiplinkan balik pemandu dan penunggang motosikal. Ops ini memang itu konsep dan hasratnya. Walaupun nampak mudah dengan kesalahannya, tapi itulah yang orang langgar.
Dulu memang boleh dikatakan banyak yang berhenti di lampu isyarat ikut suka hati sampai ada yang masuk dalam kawasan pejalan kaki. Bagi kita ini yang paling asas. Kita hendak mendidik dan kini sudah nampak hasilnya.
Sekarang kita sudah memasuki fasa kedua dan untuk fasa pertama, sebanyak 157,000 saman sudah dikeluarkan. Memang ada impak dan sangat berharap ia mampu mendisiplinkan pemandu dan penunggang motosikal. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×