3.4 juta warga emas perlu fasiliti sesuai - Utusan Malaysia

3.4 juta warga emas perlu fasiliti sesuai

Kerajaan disaran membina kemudahan mesra warga emas seperti negara-negara di Eropah. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 3.4 juta warga emas di negara ini berdepan kepayahan untuk meneruskan kehidupan dengan selesa berikutan kekurangan kemudahan infrastruktur yang boleh menyokong golongan tersebut melakukan aktiviti harian mereka.

Situasi ini membimbangkankan kerana Malaysia bakal menuju negara tua pada 2030, dan jika kemudahan yang sesuai
tidak disediakan kepada golongan tersebut ia akan mencetuskan pelbagai masalah sosial.

Negara ini sepatutnya mencontohi negara-negara Eropah terutama United Kingdom yang menyediakan kemudahan untuk warga emas sama ada di tempat-tempat awam, pusat beli-belah mahupun dalam pengangkutan awam.

Mengikut rekod Banci Malaysia 2020, jumlah warga emas di negara ini mencatatkan peningkatan ketara iaitu seramai 3.4 juta orang berbanding 2.2 juta pada 2010.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hayati Kadir berkata, kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia dijangka berusia melebihi 60 tahun menjelang 2030 dan ketika itu Malaysia akan berstatus negara tua.

HAYATI KADIR @ SHAHAR

Sebagai warga yang lanjut usia, kumpulan itu tentunya mempunyai masalah kesihatan, uzur, berkerusi roda dan sebagainya.

Oleh itu, menurut beliau, mengikut kajian MyAgeing, perkara asas seperti aspek pengangkutan dan mobiliti perlu disesuaikan dengan perkembangan Malaysia yang menuju kepada negara tua.

Sebagai contoh, kata beliau, kebanyakan pengangkutan awam yang tersedia seperti bas, MRT dan kereta api ketika ini disifatkan tidak mesra warga emas kerana pihak pengurusan tidak menyediakan pelantar atau laluan khas.

TEMPAT

Bahkan, kata Hayati, di kawasan-kawasan awam lain juga tidak banyak disediakan tempat duduk khas untuk orang tua selain tiada kemudahan pemegang di tandas-tandas awam.

Oleh itu, menurut beliau, sudah tiba masanya Malaysia melakukan perubahan struktur penyampaian kemudahan dan perkhidmatan untuk memberi perhatian kepada warga emas.

Katanya, perubahan tersebut perlu dimulakan segera kerana Malaysia bakal bergelar negara tua pada 2030 iaitu kurang tujuh tahun lagi.

“Sekarang merupakan tempoh paling sesuai untuk kerajaan membuat perubahan infrastruktur dengan penyediaan kemudahan yang mengambil kira keperluan warga emas.

“Keperluan itu perlu digerakkan di peringkat Persekutuan hingga ke pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika kemudahan tidak ditambah baik bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan hari-hari tua,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai rekod, Perak kekal negara paling tua di Malaysia dengan 9.7 peratus apabila mempunyai penduduk berumur 65 tahun ke atas diikuti Johor yang muncul negeri tua pada tahun ini.

JEPUN

Dalam pada itu, Hayati turut menyarankan Malaysia mencontohi Jepun yang merupakan negara tua dan telah melakukan persediaan lengkap dari semua segi untuk warganya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mengakui warga emas di negara ini belum menikmati kemudahan infrastruktur yang sepatutnya seiring peningkatan usia mereka.

Malah, menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan berhubung dilema golongan berkenaan yang seolah-olah terabai sebaik memasuki usia emas.

“Walaupun sudah tua, tetapi mereka tidak boleh diabaikan atau dilupakan oleh kerajaan, sebaliknya perlu terus dibantu terutama dari segi penyediaan kemudahan dan perkhidmatan.

“Ramai warga emas mengeluh apabila kemudahan infrastruktur di negara ini masih kurang misalnya pengangkutan awam dan tempat rekreasi untuk mereka,” katanya.

Kata Lam Thye, jika perkara itu tidak diberi perhatian, beliau bimbang warga emas akan menderita akibat kemurungan selain menanggung penyakit sedia ada.

Justeru, aktivis itu turut menyarankan agar kerajaan menyediakan peruntukan khas dalam Bajet 2024 untuk membela nasib warga emas.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan warga emas boleh menghabiskan hidup mereka dengan cara lebih baik.

“Kerajaan juga perlu menggubal undang-undang baharu untuk memberikan perlindungan kepada warga emas dari pelbagai masalah.

“Paling penting, golongan ini memerlukan pusat rekreasi untuk mereka berkumpul, berinteraksi dan bertukar-tukar fikiran sesama mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×