PASIR SALAK: Kampung Bandar atau ‘Bandor’ dalam loghat penduduk tempatan di sini mungkin antara kampung paling sunyi kerana mengalami kekurangan penduduk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati banyak rumah di kampung itu yang kosong tanpa penghuni, mungkin ditinggalkan pemiliknya dan terbiar atas pelbagai faktor seperti berhijrah atau yang sudah meninggal dunia dan peninggalan mereka itu mungkin tidak diwarisi.
Keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini khususnya pada sekitar tahun 1950-an, apabila kampung itu merupakan sebuah penempatan yang mempunyai ramai penduduk sehinggakan difahamkan terdapat sebuah pelabuhan di tebing Sungai Perak di kampung itu.
Namun kira-kira tiga tahun lalu, di kampung itu hanya empat keluarga terdiri tujuh individu.
Tinjauan terbaharu semalam mendapati sukar untuk melihat kelibat penduduk di sekitar kampung itu dan banyak rumah yang kosong tanpa penghuni.
Difahamkan, kampung itu sunyi kerana terletak jauh dari pekan terdekat iaitu pekan Kampung Gajah iaitu kira-kira 15 kilometer.
Menurut seorang penduduk, Wali Radin Wali Radin Muhamad, 99, dianggarkan ketika ini kurang daripada 10 penduduk asal yang masih ada di kampung di kampung itu.
Katanya, penduduk semakin kurang disebabkan pelbagai faktor antaranya penghijrahan penduduk ke luar kerana mahu mencari pekerjaan.
“Kampung ini semakin sunyi sepi, mungkin kurang daripada 10 orang penduduk asal di sini dan rumah-rumah di sini banyak yang kosong, tidak berpenghuni, kalau ada pun disewa kepada pekerja asing yang bekerja di kebun kelapa sawit.
“Jika keadaan ini berterusan, saya tidak pasti berapa lama ia akan wujud. Adalah merugikan jika kampung ini terus sunyi kerana suatu masa dahulu ialah adalah sebuah petempatan yang mempunyai ramai penduduk,” katanya.
Menurutnya, selain faktor ekonomi, difahamkan ramai penduduk di kampung itu berpindah ke kawasan yang lebih selamat iaitu di Bukit Chawi dekat sini, selepas kampung itu dilanda banjir besar pada tahun 2014.
“Ramai yang berpindah ke petempatan baharu disebabkan banjir yang berlaku hampir 10 tahun lalu, ramai orang tua-tua di kampung ini yang sudah meninggal dunia.
“Memang terasa sunyi tinggal di sini, kadang kala rasa takut pun ada juga kerana jauh dari kampung lain. Kalau berlaku kecemasan susah nak minta tolong,” katanya. – UTUSAN











