‘Syukur, tanda tanya sudah terjawab’

‘Syukur, tanda tanya sudah terjawab’

K. VATHMA menunjukkan gambar R. Darvnrajh ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Ria, Tampin, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Meskipun pembunuh anak sulungnya belum dihadapkan ke muka pengadilan, K. Vathma, 55, tetap bersyukur selepas teka teki berhubung kehilangan R. Darvnrajh, 24, akhirnya terjawab setelah polis mengesahkan mayat yang ditemukan seperti terbakar dalam semak di Alor Gajah di sini, Sabtu lalu adalah pemuda itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Vathma berkata, sekurang-kurangnya mayat Darvnrajh ditemukan dan dapat disempurnakan selepas lebih 11 hari menjalani proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, walaupun motif pembunuhan anaknya dengan cara sangat kejam belum terungkap, keluarganya reda dengan pemergian Darvnrajh yang disifatkan sebagai anak yang baik.

Menurutnya, polis memaklumkan keputusan DNA kepadanya kira-kira pukul 7.30 petang kelmarin dan mayat akan disempurnakan pukul 11 pagi ini.

“Anak saya diperlaku begitu kejam, apa motif mereka membunuhnya sedemikian. Memang saya sekeluarga masih bersedih, namun sekurang-kurangnya kami sudah tahu bahawa itu adalah Darvnrajh.

“Lebih 11 hari saya diselubungi tanda tanya, ke mana anak saya pergi? Apa yang berlaku kepadanya? Walaupun naluri keibuan saya kuat mengatakan bahawa mayat yang ditemukan di Alor Gajah adalah Darvnrajh. Akhirnya persoalan terjawab, kami boleh sempurnakan mayatnya,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan dalam keadaan seperti hangus terbakar dalam semak di Alor Gajah adalah Darvnrajh.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ujian DNA dijalankan ke atas ahli keluarga mangsa menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.

Menurut Vathma, sehingga kini, dia masih tertanya-tanya motif pembunuhan anaknya, memandangkan Darvnrajh pada pengetahuannya tidak mempunyai musuh atau mencetuskan sebarang masalah sejak di bangku sekolah.

Ujarnya, kejadian menimpa amat memberi kesan mendalam yang mana dia belum mampu pergi bekerja di sebuah pasar raya di Tampin, Negeri Sembilan.

“Anak saya memang anak yang baik. Saya mahu keadilan buat anak saya. Saya mahu tahu kenapa mereka buat anak saya macam ini.

“Saya dapat tahu daripada polis, tiga lelaki sudah ditangkap dan mereka ini mempunyai rekod jenayah lampau. Polis sudah banyak bantu kami dan kami harap polis dapat mengetahui segera motif anak kami dibunuh dengan kejam sebegitu rupa,” katanya.

Pada 14 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki hilang selepas tidak pulang ke rumah di Tampin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, Darvnrajh kali terakhir dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi 10 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×