Lagi kerap kata kita akan tumbang, lagi bagus...

Lagi kerap kata kita akan tumbang, lagi bagus…

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERKECIMPUNG dalam politik seawal usia 21 tahun, perjalanan 25 tahun perjuangannya bersama PKR tidak pernah kendur.

Sering membentangkan kajian data dan ramalan kecenderungan politik rakyat terhadap parti setiap kali pilihan raya merupakan trademark (jenama) RAFIZI RAMLI. Namun, sentiasa menjadi sasaran kritikan rakyat kerana dikatakan tersasar.

Pendekatan politik progresif berlandaskan idea, merit dan rekod prestasi (track record) menjadi asas Pakatan Harapan (PH) yang menunjangi kerajaan perpaduan bagaimanapun diyakini Rafizi, 46, mampu terus kekal dan tidak akan mengulangi episod 22 bulan, 17 bulan atau 10 bulan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dalam pertemuan lebih sejam di Putrajaya baru-baru ini,
Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi itu berkongsi cabaran persaingan politik pada masa sekarang.

Turut serta, jurufoto FAISOL MUSTAFA dan juruvideo MMTV, MOHD. FIKRI FADZIL.

TERSASAR?

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) saya kata PH akan menang 80 kerusi, paling tinggi 90 dan sokongan meningkat. Keputusan sebenar PH menang 82 kerusi, jadi kat mana tersasar?

Sebenarnya sains untuk meramalkan keputusan pilihan raya makin senang. Saya bagi contoh ramalan dalaman PKR adalah 98 peratus tepat dalam pilihan raya negeri (PRN) lepas.

Cuma saya berhati-hati apabila menyebut sokongan Melayu (kepada PH) di Kelantan meningkat. Memanglah meningkat, cuma tak cukup untuk menang. Jadi, soal ramalan tak jadi masalah, media memang payah nak ramal, tapi kita mudah sebab kita ada data, kita kesan data secara bulanan.

Sebab itu saya tak turun langsung pilihan raya kecil (PRK) di Simpang Jeram dan Pulai sebab saya dah tahu dah menang.

BUTA-BUTA BAGI UNDI

Cabaran dia bukan soal meramal. Politik sekarang ini dokmanya soal perkauman sempit yang mengarut. Apabila Melayu tidak lagi melihat kemampuan mentadbir dan mutu dari segi visi dan misi serta rekod prestasi untuk menentukan siapa yang patut dipilih, kalau letak pakcik mana pun asalkan dia Perikatan Nasional (PN) kononnya, buta-buta dia bagi undi, itu cabarannya.

Tapi perkara ini bukan baharu berlaku. Contoh 2008, setiap kali ada perubahan kepada status quo dilihat oleh pengundi Melayu. Perubahan pertama 2008 apabila Pakatan Rakyat (PR) menidakkan dua pertiga dan menumbangkan lima negeri. Masa itu ada yang dilihat gelombang Melayu besar, muncul pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), pada masa sama pentadbiran PR ditekan berterusan di Selangor terutamanya, namun akhirnya ia kendur.

Jika dilihat pertembungan dan persaingan politik di negara kita sekarang dan masa akan datang, antara kumpulan progresif seperti ada pada PH yang meletakkan keputusan politik itu mestilah berdasarkan merit, idea, rekod prestasi dan mesti berasaskan mengupayakan rakyat.

Satu pihak lagi akan ada yang main isu Melayu sampai ke sudah. Kalau kita tengok pola dari 2008 hingga sekarang akan turun naik.

JERITLAH MACAM MANA PUN, GAJI TETAP RENDAH

Setakat ini walaupun cabaran besar untuk bersaing dengan politik perkauman semata-mata, namun PH atau PR terdahulu setiap kali masuk pilihan raya, tetap menang dan terus kekal.

Tahun 2013, walaupun PR tak menang tapi menang undi popular, dan Barisan Nasional (BN) ketika itu masih lagi tak berjaya merampas. Sama 2018, momentum yang ada macam-macam cerita perkauman keluar antara 2013 ke 2018 masih lagi BN tumbang. Akhirnya akan ada pengundi Melayu sedar bahawa isu sebenarnya soal pentadbiran, pengurusan, amanah, keterampilan dan kompeten.

Dalam tempoh lima tahun lagi, saya boleh tunjuk Terengganu walaupun 32-0, tidak ada pembangkang langsung bukan saja Cina tidak ada, akhirnya bermain sentimen ini sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa.

Walaupun ada lonjakan sekali sekala sebarang reaksi kepada perubahan status quo, kerana PH hanya tidak dilihat berjiwa Melayu memandangkan Melayu dalam PH dilihat progresif, melihat di luar lensa perkauman. Ini kali pertama ada kerajaan yang tidak dilihat dengan lensa perkauman.

Jadi, sudah tentu ada reaksi pengundi Melayu mereka akan waras. Dia tahu dalam tempoh dua atau tiga bulan atau satu tahun dari sekarang, dia ikut Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor) pergi mana-mana, jeritlah macam mana, gaji tetap rendah.

Akhirnya dia akan menanti dan membandingkan antara kerajaan progresif yang secara berterusan cari jalan menyelesaikan masalah atau kerajaan yang berselindung dengan menganggap takpalah kamu miskin, kamu susah asalkan kamu Melayu.

Sebab itu, ini dinamik politik yang sudah berlaku setiap lima ke enam tahun sekali, cuma orang tak nampak. Bagi orang di belakang tabir, saya sebagai strategis utama PH dah tengok benda ni, saya tak rasa ia satu cabaran besar.

Cabaran kita lebih besar ialah menangani cabaran ekonomi, itu lebih susah. Kalau kita berjaya laksana perancangan baik, kesan itu mula ada kepada rakyat. Isu Melayu tak Melayu ini akhirnya akan ada orang kata, mereka ini sembang sajalah.

ASALKAN PAKAI KOPIAH

Saya tak pernah percaya dengan cerita ikon. Sebenarnya organisasi atau kaum yang berkiblatkan individu, saya tak rasa benda itu baik.

Dulu kita ada orang yang berkiblat Tun (Dr. Mahathir Mohamad), sebab hormat Tun, tapi sekarang Tun pusing kiri kanan habis keluar semua parti nak buat apa? Sebab itu saya percaya paling baik untuk masyarakat mendidik supaya dia tahu apa yang terbaik untuk dia secara waras dan rasional.

Ikon hebat macam mana pun kadang dia bertukar-tukar. Jadi, situasi itu berubah dari satu masa ke masa. Hari ini dia paling sesuai untuk menguruskan cabaran pada ketika itu, masa depan orang lain pula?

Jadi, yang menentukan kekuatan masyarakat bukan pemimpin, bukan ikon, kalau orang Melayu nak maju, orang Melayu kena cerdik.

Masalah kita pengundi, kita letak orang ‘buta’, letak orang mengarut sedangkan tak reti apa pun. Tapi sebab dia pakai ‘kopiah’ Melayu, dia dapat jadi menteri besar. Itu masalahnya

Saya tak rasa soal pemimpin sebab pemimpin datang dan pergi. Saya pun sama, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun. Bila tiba masa seorang PM (Perdana Menteri) bersara, tidak ada orang ingat kat dia dah. Masyarakat akan move on.

Tapi masyarakat yang ada kekuatan boleh memilih yang terbaik dalam kalangan pemimpin mereka untuk memimpin, paling bagus untuk menangani cabaran pada masa itu, itu masyarakat kumpulan yang akan ke depan.

Sebolehnya saya harap jangan ada banyak ikon, masing-masing buat kerja kamu. Kalau kamu dipilih menjadi wakil rakyat, di Parlimen kena pandai bercakap, ada isu tertentu kamu fokus.

Tak payah buat benda lain. Kamu dibayar untuk itu.

KESETIAAN PENGUNDI KEPADA IDEA

Saya dengan KJ (Khairy Jamaluddin) ada satu persamaan. Kami generasi sama. Saya setahun lebih muda daripada dia. Kami datang dari lebih kurang latar belakang pendidikan sama, sama-sama di United Kingdom. Kami kongsi perkara sama, iaitu kepercayaan bahawa negara kita mesti progresif dan berasas kepada idea.

Saya nak kata KJ patut pergi parti mana itu susah sebab parti pun bertukar-tukar. Sekejap parti itu macam ini. Masa akan datang seperti kita tengok di negara maju lain, kesetiaan pengundi tidak lagi kepada parti tapi kepada idea. Sebab itu di negara lain seperti Thailand, parti Pita (calon PM, Pita Limjareonrat), tak pernah berlaku dalam sejarah ada satu parti baharu dipimpin yang tidak ada pengalaman dalam politik, sapu bersih satu Bangkok. Sebelum itu Bangkok berpuluh tahun, 100 tahun adalah tapak kuat parti demokrat.

Sama juga Perancis, parti Macron (Presiden Perancis, Emmanuel Macron), berpuluh tahun antara parti sayap kiri sosialis dan sayap kanan. Parti Macron datang 45 bulan, dia menang sebab dengan media sosial, internet, pengundi mana-mana pun boleh buat penilaian lebih baik, selalu lebih sesuai dengan pandangan dia. Jadi, idea itu lebih penting.

Kalau KJ suatu hari nanti dia rasa yakin gagasan idea dibawa itu akan bawa kemenangan besar, serasi dengan sokongan besar rakyat di bawah, saya ingat dia buat parti sendirilah kot.

Daripada dia sibuk nak fikir nak masuk parti mana. Kita tengok dua tiga PRU lepas, pengundi mula swing (beralih) ke satu parti ke parti, kesetiaan semakin meluntur sesuatu parti.

PKR perjuangan dari awal itu reformasi. Kita nak supaya persaingan dan pertembungan kuasa itu berpaksi kepada idea. Mana yang ke depan dan kreatif akan diterima rakyat.

Kalau parti hebat macam mana pun, kalau ketinggalan zaman, tak boleh bagi rasional, dia akan ketinggalan.

MASA SYED SADDIQ MASIH PANJANG
Dia masih muda. Saya dalam PKR orang menganggap tua bangka sebab generasi pertama menubuhkan parti awal-awal pada 21 tahun, sekarang 46 tahun.

Kadang-kadang saya tak popular dengan generasi muda dalam PKR sebab saya meletakkan syarat keras bahawa yang muda ini perlu melalui proses panjang. Dalam parti kena bekerja panjang sebelum diberi peluang jadi wakil rakyat, perlu ada bukti dan sumbangan.

Sebab itu saya selalu bagi nasihat, kalau orang itu mendapat tanggungjawab terlalu awal sebelum dia bersedia, maka dia ada banyak risiko kerana politik dan tangungjawab, amanah ada pasang surut yang tak boleh jangka.

Saya ingat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ada baik buruk dia dapat peluang lebih awal berbanding orang lain. Jadi, dapat belajar lebih cepat. Pada masa sama ada peluang lebih awal daripada orang lain, kita juga diuji lebih awal daripada orang lain. Ini satu proses kena lalui.

Seperti saya juga akan dihakimi berdasarkan keputusan-keputusan saya dari satu masa ke satu masa. Syed Saddiq akan melalui perkara itu.

Cuma saya lalui 10, 15 tahun dulu. Kita mungkin buat keputusan berbeza-beza tapi akhirnya rakyat akan dapat mengadili kita secara konsisten. Kita mungkin sekejap kita kata macam ini tapi prinsip mesti sama.

Cabaran Syed Saddiq sekarang, dia muda, banyak peluang, cabaran membuktikan keputusan berbeza dia itu berlandaskan satu pegangan prinsip benar-benar teruji. Itu cabaran.

KERAJAAN 10 BULAN, 22 BULAN, 17 BULAN BERULANG?

Saya rasa tidak, sebab banyak benda berbeza. Saya sendiri drafkan perjanjian kerajaan perpaduan, sebelum ini tidak ada perjanjian. Jadi, kerajaan perpaduan ini memang diikat oleh perjanjian.

Angkanya besar, bukan 118, ini 147 kerusi. Untuk kerajaan perpaduan tumbang tak mudah kerana memerlukan 30 lebih kerusi. Maksudnya, bukan satu blok, dua blok kena keluar dari kerajaan.

Sekarang kita ada undang-undang lompat parti, dulu tidak ada. Bayangkan sebelum ini selepas PRN, kalau ada yang menguar-uarkan enam negeri ini PN menang besar, maka PMX akan jadi X-PM. Dia ambil perkiraan ini, kalau PN menang besar akan ada berpuluh ahli Parlimen yang akan keluar dari parti masing-masing, hilang kerusi dan bertanding balik atas tiket PN dan akan menang.

Cuba you jadi MP (ahli Parlimen), waras ke tidak, elok-elok duduk di sini, tiba-tiba aku keluar untuk angkat Haji Hadi dan Muhyiddin jadi PM. Tak masuk akal.

Paling penting, semua gabungan parti yang ada dalam kerajaan sekarang memahami kita sedang berada dalam keadaan tidak sihat. Ekonomi tak baik, struktur tak bagus.

Kalau keadaan ini berterusan, yang akan membayar harga bukan ahli politik macam saya dan Anwar. Anwar, saya ingat jadi apapun perjuangan hidup tercapai. Saya orang korporat, kalau orang beritahu saya tak perlu jadi menteri, lagi saya happy, balik boleh joging. Tapi macam gabungan lain, saya tengok mereka faham kita betul-betul kena bersatu padu untuk usahakan pembaharuan.

Kalau tengok GPS (Gabungan Parti Sarawak), ayat dia konsisten, kurangkan berpolitik, tumpu kepada kerajaan. Kita perlukan kestabilan politik untuk memajukan negara. Lepas itu kalau nak bersaing balik, bersainglah. Sebab masa ini cukup genting. Dalam keadaan itu saya tak nampak begitu mudah gabungan besar GPS, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) hatta BN menarik diri.

Bila diambil perkara-perkara ini sebenarnya kerajaan perpaduan sekarang sangat kukuh, tidak ada retak yang dulu. Kalau jadi apa-apa pun lebih kerana kita berhadapan cabaran ekonomi.

Itu yang lebih mencabar. Bukan soal tebuk atap, lompat parti.

Kalau orang tanya macam mana pun kata kerajaan akan jatuh bulan enam, tujuh, 10, itu benda baik kepada kerajaan perpaduan kerana makin lama mereka mengulangi perkara itu dalam keadaan secara kebarangkalian perkara itu tak berlaku, semakin ramai orang hilang kepercayaan kepada PN.

Yang lagi penting, macam mana kita nak fokus kepada penyampaian, itu lebih mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×