GEORGE TOWN: Peminat nasi kandar di negeri ini boleh menarik nafas lega memandangkan harga sepinggan nasi putih masih dikekalkan oleh para pemilik restoran berkenaan.
Ini kerana kebanyakan pemilik restoran nasi kandar di sini memilih untuk menyerap kenaikan kos harga beras yang meningkat pada masa ini.
Pengurus Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga beras meningkat secara berperingkat sejak awal tahun iaitu bermula pada harga RM2.50 sekilogram hingga RM4.50 sekilogram pada masa ini.
”Buat masa ini kami tidak menaikkan harga sepinggan nasi putih yang dijual RM1.70 bagi cawangan di Pulau Pinang, kami tidak mahu membebankan peminat nasi kandar.
”Kami menunggu sehingga bulan Disember ini untuk membuat semula penilaian harga dan selepas itu baru kita lihat sama ada terdapat keperluan untuk menaikkan harga sepinggan nasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, buat masa ini, pihaknya tidak berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan beras daripada pembekal tempatan, namun, mereka perlu membayar beras pada harga yang tinggi berbanding sebelum ini.
”Kami memerlukan sehingga 60 kilogram beras sehari untuk setiap cawangan dan kos kenaikan harga beras itu diserap oleh pihak restoran.
“Pemilik restoran nasi kandar masih mampu menyerap kos kenaikan barangan mentah kerana ada juga barangan lain seperti sayur yang mengalami penurunan harga.
”Tidak semua barangan naik mendadak, kita kena faham kenaikan harga beras ini berlaku di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik restoran Kassim Mustafa, Datuk Salim Mansor berkata, beliau tidak mahu membebankan peminat nasi kandar dan masih mengekalkan harga sepinggan nasi pada kadar RM1.50.
”Saya dapatkan beras daripada pembekal tempatan dari Kedah dan harganya naik sekitar RM10 bagi seguni beras, namun buat masa ini saya masih kekalkan harga sepinggan nasi putih.
”Saya tunggu sehingga Disember ini untuk melihat sama ada akan berlaku lagi kenaikan harga beras atau tidak, pada masa itu mungkin harga sepinggan nasi perlu dinilai semula,” katanya. – UTUSAN










