PETALING JAYA: Gagal masuk ke universiti dan tidak bekerja dalam bidang profesional antara dua punca utama gaji rakyat rendah dan tidak meningkat dengan kadar sewajarnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu boleh dilihat dengan jelas menerusi perbandingan jumlah pelajar antara kaum bumiputera, Cina, India dan lain-lain.
“Kita tahu lebih kurang 30 peratus sahaja bumiputera melanjutkan pelajaran ke universiti berbanding sekolah Cina yang peratusan melanjutkan pelajaran jauh lebih tinggi.
“Apa nak buat dengan 70 peratus ini? Mereka ini yang membawa gaji itu turun sebab hanya segelintir bumiputera dalam peratusan kecil yang melanjutkan pelajaran dan berpeluang mendapat gaji lebih tinggi,” kata beliau dalam wawancara Mingguan Malaysia sempena pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini.
Sebab itu, menurut beliau, kerajaan berhasrat membangunkan satu sistem yang membolehkan pelajar yang menamatkan alam persekolahan untuk terus bekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).
Katanya, faktor kedua yang menyumbang kepada kadar pendapatan rendah adalah ketidakseimbangan bilangan graduan bumiputera yang bergelar profesional selepas menamatkan pengajian di universiti.
UNIVERSITI
“Kita perlu melihat kenapa banyak budak-budak kita (bumiputera) yang keluar universiti tetapi tidak terus kepada bidang profesionalisme. Ini masalah mikro negara. Ini soal ekonomi dan kemahiran.
“Sebab, itu dalam KSP kita beri tumpuan bagaimana mahu tambah pendapatan kepada golongan kumpulan bawah. Maka, projek rintis yang kita jalankan dalam KSP ini menyentuh cara bagaimana nak tambahkan penyertaan semua terutama golongan bumiputera dalam bidang teknikal,” katanya.
Justeru, Rafizi menyifatkan kadar gaji yang rendah bukan melibatkan soal jurang pendapatan antara kaum semata-mata, tetapi kerana wujudnya jurang pendapatan dalam kalangan kaum itu sendiri.
“Kita kena lihat dalam pendapatan kumpulan bumiputera antara paling kaya dan rendah. Sebenarnya masalah paling besar ialah yang dalam kumpulan itu. Ia bukan sahaja untuk bumiputera tapi Cina dan India juga begitu. Bagi saya ada beberapa perkara dan perspektif kita perlu lihat.
“Kalau kita lihat semata-mata perbandingan antara kaum, ia mudah untuk di putar belitkan. Seolah-olah bahawa paling tinggi pendapatan, contohnya kaum Cina, kedua India dan ketiga bumiputera,” katanya.
Sebaliknya, beliau menganggap ia lebih kepada soal berapa banyak pekerja dalam satu kaum yang terlibat dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.
“Kalau kaum Cina, yang lebih banyak ialah profesional. Akauntan, peguam dan jurutera. Mereka kerja swasta dan banyak juga yang bekerja dengan syarikat asing. Begitu juga dengan India.
“Jadi cabaran kita ada bukannya nak bandingan antara kaum Cina dapat lebih atau India juga dapat dapat lebih,” katanya. – UTUSAN
Wawancara penuh di muka 12 dan 13










