Pinda laporan 1MDB: Najib, Arul Kanda kekal bebas

Pinda laporan 1MDB: Najib, Arul Kanda kekal bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kekal bebas daripada tuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan diri dikenakan tindakan undang-undang.

Ini menjadikan kes yang masih ‘ditanggung’ oleh bekas ahli Parlimen Pekan itu hanya tinggal tiga kes.

Tiga kes tersebut ialah kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang kini sedang dibicarakan di peringkat pendakwaan, kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta yang masih belum dibicarakan sejak Najib didakwa pada 2019 dan kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Bagi kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion, Najib didakwa bersama-sama dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Kes itu akan disebut Jumaat ini di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin bagi mengetahui status representasi yang dihantar oleh Najib pada Mac lalu.

Dalam prosiding semalam, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu ketika membaca keputusan sebulat suara panel itu, Hakim Hadhariah menyatakan kegagalan pihak pendakwaan mematuhi arahan mahkamah untuk memfailkan petisyen rayuan walaupun telah diminta berbuat demikian berulang kali.

“Berdasarkan kronologi, terdapat tiga pengurusan kes (berhubung rayuan) iaitu pada 21 Julai, 28 Ogos dan 30 Ogos lalu dan pendakwaan telah diingatkan agar memfailkan petisyen tetapi telah gagal untuk mematuhi perintah mahkamah.

“Mengikut undang-undang Seksyen 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 apabila petisyen rayuan gagal difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan tiada permohonan lanjutan masa dibuat, maka notis rayuan dianggap telah luput dan terbatal.

“Pada hemat kami, apa-apa permohonan lanjutan masa perlulah dibuat sebelum tarikh akhir petisyen rayuan iaitu pada 6 Julai lalu. Tetapi sehingga hari ini, 12 September tiada permohonan lanjutan masa difailkan.

“Sudah lewat lebih dua bulan dan permohonan lanjutan masa masih belum dibuat. Oleh kerana kes ini telah dibawa ke hadapan panel ini, kami membuat perintah bahawa kedua-dua notis (rayuan) ini dibatalkan. Kita ikut undang-undang ya,” kata Hakim Hadhariah.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah menetapkan satu tarikh pengurusan kes untuk pihaknya memfailkan notis permohonan bagi memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa ditetapkan.

“Kes merupakan kes berkepentingan awam yang mana ia perlu penelitian mendalam. Keputusan ini adalah keputusan terbaharu pengurusan tertinggi Jabatan Peguam Negara. Mohon tempoh dua minggu untuk memfailkan petisyen,” katanya.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah oleh peguam, Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

“Tempoh masa telah diberikan untuk memfailkan petisyen dan ia perlu dipatuhi oleh semua pihak namun sehingga pagi ini, tiada sebarang pemfailan dibuat. Oleh itu tiada apa yang boleh diberi pertimbangan oleh Mahkamah,” ujar Sivananthan.

Muhammad Shafee pula ketika membantah permohonan itu berkata, tindakan pendakwaan tidak memfailkan petisyen tersebut walaupun telah diarahkan oleh Timbalan Pendaftar menunjukkan mereka tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Arul Kanda ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu beliau gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Saya gembira ia telah berakhir. Akhirnya, saya betul-betul boleh melupakan kesemuanya,” katanya.

Arul Kanda Kandasamy bercakap kepada media di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam.
-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah pada tarikh tersebut turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Najib didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×