HARI ini berlangsung program penghayatan bahasa kebangsaan dan galakan membaca menggunakan pendekatan didik hibur (edutainment) di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Aulong, Taiping, Perak.
Seramai 20 murid pelbagai kaum dan latar akademik, lima ibu bapa serta kesemua 16 guru sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam aktiviti membaca, menyanyi dan berlakon yang dirangka khusus menggunakan pengalaman Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak 1999.
Program galakan membaca dan penghayatan bahasa kebangsaan oleh Kavyan sudah dikendalikan di puluhan sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan universiti seluruh negara dalam skala kecil-kecilan tanpa sebarang publisiti.
Pada pengalaman dan pengamatan saya, institusi bahasa dan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memang cuba melakukan usaha seperti ini. Akan tetapi sering kali program diatur tertumpu kepada kaum Melayu di mana sepatutnya bahasa itu sudah menjadi sebati dalam jiwa mereka.
Satu lagi kelemahan adalah keinginan menganjurkan program secara besar-besaran dengan melibatkan ratusan peserta. Malangnya, sebagaimana dapat dijangka, kesan dan hasil pengendalian program dalam skala besar-besaran itu terlalu kecil atau hampir tiada.
Saya katakan demikian kerana selain sekadar nampak cantik dalam pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), tiada hasil yang benar-benar boleh dibanggakan. Menyedari hakikat inilah juga Kavyan sentiasa mengadakan program dalam skala kecil-kecilan.
Program bahasa dan sastera secara bulanan di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong, Kuala Lumpur melibatkan 55 kanak-kanak dan remaja, maka dipecah kepada dua kumpulan.
Program di SK Convent Aulong pula nampak ramai kerana melibatkan juga guru dan ibu bapa. Tujuannya supaya para guru mampu memanfaatkan teknik didik hibur semasa mengajar di kelas. Ibu bapa pula diharap mendapat pendedahan dan motivasi untuk membantu memupuk minat membaca dalam jiwa anak-anak.
Sesungguhnya, apa-apa yang dilakukan Kavyan bukan sesuatu yang baharu. Sebaliknya, kami hanya memanfaatkan dan meneruskan pelbagai usaha diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak dahulu. Berbekalkan pengalaman dan kepakaran kami sebagai golongan penulis dan pencinta bahasa kebangsaan, maka program berjalan lancar dan membuahkan hasil diimpikan.
Program penghayatan sastera, galakan membaca dan memupuk minat terhadap bahasa kebangsaan dijalankan di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SK.
Perlu diakui pada mulanya peserta sedikit keberatan dan kurang berminat kerana menganggap aktiviti bahasa sebagai sesuatu yang berat dan membosankan. Wujud persepsi negatif dan prejudis yang perlu diatasi semasa peserta masih kanak-kanak.
MELENTUR BULUH
Melentur buluh biarlah dari rebung. Program Kavyan yang melibatkan kanak-kanak biasanya dimulakan dengan nyanyian lagu Rasa Sayang dan diselitkan beberapa rangkap pantun tradisional. Peserta akan bertepuk dan menggerak-gerakkan badan sambil menyanyi dengan penuh gembira.
Prejudis, tanggapan negatif dan perasaan tidak berminat yang ada pada mulanya akan segera hilang entah ke mana. Malah, kanak-kanak lebih teruja apabila guru, ibu bapa dan sukarelawan Kavyan turut menyanyi dengan gembira dan penuh bersemangat.
Perlu diakui golongan dewasa juga amat teruja setiap kali lagu Rasa Sayang dinyanyikan. Masing-masing terkenang pengalaman sewaktu bersekolah dahulu. Malah, mereka tidak menyangka lagu ini mampu memecah prejudis terhadap bahasa dan sastera.
Seterusnya, peserta dibimbing ‘membedah’ pantun untuk memahami ciri-ciri yang terkandung di dalamnya. Kanak-kanak akan menyedari betapa masyarakat dahulu begitu prihatin dan mampu menghasilkan karya unik menggunakan alam semula jadi sebagai pembayang.
Sesudah itu, peserta diberi tunjuk ajar cara menulis pantun mengikut ciri-ciri tradisional yang sudah dipelajari. Hasilnya memang membanggakan kerana ternyata kanak-kanak memiliki potensi hebat jika diasuh dan diasah dengan betul.
Kemudian, lagu Rasa Sayang dinyanyikan semula, tetapi kali ini dengan menyelitkan pantun yang dihasilkan para peserta. Sinar kegembiraan, rasa bangga dan cahaya motivasi sudah berjaya disuntik dengan cara amat santai dan menyeronokkan.
Malah, sehingga kini, saya masih dihubungi bekas peserta yang sudah dewasa. Mereka menceritakan bagaimana program Kavyan berjaya membuatkan mereka meminati buku, sastera dan bahasa kebangsaan.
Malah, ada pula yang berminat menjadi penulis. Individu yang benar-benar berminat akan diberikan pula bimbingan susulan penulisan cerpen dan rencana.
Maka, berbeza dengan apa yang mungkin dilakukan institusi besar, Kavyan menjalankan program secara penuh ikhlas dalam skala kecil tetapi berterusan. Kami juga amat bertuah kerana beberapa rakan sentiasa tampil memberi sumbangan bagi menampung sebahagian kos.
Selain aktiviti penulisan dan pembacaan, Kavyan juga mengendalikan bengkel lakonan bagi kanak-kanak. Misalnya, seramai 30 kanak-kanak, remaja dan dewasa terlibat dalam sesi latihan drama Megha Duta selama empat bulan.
Hasilnya, drama berasaskan puisi klasik karya pemuisi dari India, Kalidas itu dipersembahkan sempena Hari Sanskrit Sedunia di Pusat Kebudayaan India, Brickfields pada Ogos lalu.
Berdasarkan pengalaman saya bersama-sama Kavyan sejak 1999, kita tidak memerlukan dana besar untuk mengendalikan program penghayatan bahasa dan sastera serta galakan membaca. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











