Mahu dikenali kerana integriti, bukannya rasuah - Utusan Malaysia

Mahu dikenali kerana integriti, bukannya rasuah

PEMBANGUNAN Integriti Bersama Komuniti (CIB IIM) adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASUAH adalah cabaran besar kepada kerajaan dan negara. Usaha untuk mengurangkan korupsi dan rasuah secara ketara adalah salah satu sasaran penting dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-16 yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sasaran itu adalah menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat.

Matlamat tersebut perlu untuk kita capai menjelang 2030. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada 27 Julai lalu sempena peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penanda aras keenam meletakkan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan negara di tangga 25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI).

Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021 dalam CPI 2022 dikeluarkan TI pada 31 Januari lalu. Bagaimanapun, skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata (2022).

Secara asasnya, CPI menggambarkan bagaimana rasuah dilihat dalam sektor awam sesebuah negara. Ia berfungsi sebagai penunjuk global berkaitan tahap kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap tadbir urus dan tahap rasuah sesebuah negara.

Meningkatkan CPI bukan sahaja meningkatkan reputasi negara tetapi juga memupuk persekitaran yang kondusif untuk pembangunan dan pelaburan mampan. CPI 2022 dikira menggunakan 13 sumber data berkaitan rasuah daripada 12 institusi berbeza dalam tempoh dua tahun lalu.

Dalam menentukan kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2022, sebanyak sembilan sumber data digunakan oleh TI seperti Bertelsmann Stiftung Transformation Index, Economist Intelligence Unit Country Risk Service dan Global Insight Country Risk Ratings.

Sesungguhnya, pelbagai pendekatan atau inisiatif pernah dijalankan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah dengan menyasarkan kedudukan tertentu negara dalam CPI. Namun, sehingga kini didapati tiada usaha terancang, bersepadu dan berterusan serta agensi kerajaan yang khusus untuk melihat atau mengambil tanggungjawab bagi mengetuai usaha memperbaiki kedudukan negara dalam CPI.

Mungkin sesetengah pihak berpandangan CPI ini hanyalah satu indeks dibangunkan berlandaskan persepsi semata-mata, dan kita patut abaikannya dengan hanya membanteras rasuah di negara ini dengan cara kita.

Namun, kita perlu ingat bahawa persepsi negara luar dan pelabur asing kepada negara kita berkaitan tahap perlakuan rasuah bergantung kepada kedudukan kita dalam CPI.

PENDEKATAN BAHARU

Kita juga perlu sedar sejak kebelakangan ini, kedudukan dan skor negara pada tahap kurang memberangsangkan. Sudah tiba masanya untuk kita menggunakan pendekatan baharu dalam menangani isu CPI ini, dan pendekatan tersebut mestilah memberikan output dan impak segera dan berkesan bagi memastikan kedudukan negara dalam CPI meningkat setiap tahun.

Justeru, usaha untuk meningkatkan CPI memerlukan satu mekanisme atau pendekatan baharu melibatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.

Ketiga-tiga pihak adalah pemegang taruh utama yang memainkan peranan penting dalam usaha menegakkan integriti dan memperjuangkan amalan tadbir urus baik.

Sesungguhnya, usaha untuk meningkatkan CPI negara tidak boleh diletakkan di atas tanggungjawab kerajaan semata-mata. Semua pihak kena bersama-sama meningkatkan imej dan persepsi luar kepada negara terutama berkaitan integriti, tata kelola dan rasuah.

Usaha untuk meningkatkan CPI bukanlah satu aspirasi mustahil untuk dicapai negara kita. Usaha murni ini tidak hanya terbatas kepada aspek pembanterasan rasuah semata-mata.

Ia juga boleh dijadikan satu matlamat nyata yang boleh dicapai dengan usaha bersepadu dan terancang melalui penekanan kepada pembudayaan integriti dan tata kelola baik dalam masyarakat.

Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi utama dalam membangunkan budaya integriti kini berperanan membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tata kelola sektor awam dan swasta bagi membantu merealisasikan objektif untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti, bukannya rasuah.

Pada masa sama, IIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan integriti dalam pelbagai sektor dalam masyarakat. Antara inisiatif utama IIM ialah Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) melibatkan penyertaan sektor swasta dan sektor awam serta Modul Komprehensif Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ini termasuk inisiatif Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB IIM) melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti setempat dan pembekal perkhidmatan; Manual Seksyen Latihan 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Tatacara Mencukupi bagi kegunaan latihan untuk sektor swasta dan Modul Integriti Penguat Kuasa (MPI) untuk latihan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, penekanan terhadap penerapan dan pembudayaan integriti dan nilai-nilai murni secara berterusan dan terancang dalam kalangan masyarakat demi kelestarian negara amatlah perlu walaupun mengambil masa lama.

Paling penting, gerakan ini perlu bermula segera dengan mendapat kerjasama serta sokongan dan dukungan semua sektor dalam masyarakat. Berkaitan ini, IIM sentiasa komited dalam pembudayaan integriti dalam negara. – UTUSAN

DATUK Nor Yahati Awang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×