ALOR GAJAH: Tiada yang lebih menggembirakan buat sebuah keluarga di Kampung Melayu Machap Jaya dekat sini, apabila dapat tinggal di sebuah rumah lebih selesa dan selamat berbanding sebelumnya.
Seorang peniaga makanan, Suhaila Jaafar, 37, berkata, dia bersyukur mendapat bantuan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebanyak RM20,000 bagi membaiki bahagian dapur yang usang.
“Bahagian dapur kayu dinding sudah reput dan atap pula bocor manakala pendawaian elektrik tidak elok. Saya berdaftar dengan e-Kasih dan mendapat perhatian apabila menghantar video atap bocor.
“Walaupun saya berniaga tetapi ia cukup-cukup makan untuk menyara tiga anak berusia antara lima tahun hingga 12 tahun,” katanya selepas Program Inspirasiku MyHaus YaPEIM di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan YaPEIM, Parihah Hassan; Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka, Megat Azlani Megat Ramli serta Pengurus YaPEIM Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Giman.
Tambah Suhaila, kini keluarganya tidak perlu gusar mencari wang tambahan untuk membaiki dapur selepas YaPEIM tampil membantu.
“Sebelum ini saya agak bimbang dengan keadaan rumah terutama bahagian dapur yang terlalu uzur, namun tidak mampu untuk membaikinya kerana tidak cukup wang,” katanya. – UTUSAN











