KUALA KEDAH: Keluarga pelumba drag, Allahyarham Muhammad Hattem Rashdi, 22, tidak menaruh harapan tinggi untuk memperoleh pampasan susulan kemalangan yang meragut nyawa pemuda tersebut, kelmarin.
Sebaliknya, menurut kakak Allahyarham, Noor Amalia Rashdi, 27, keluarganya bagaimanapun berharap kejadian sama tidak menimpa pelumba lain selepas ini.
“Jangan bagi ada ‘Hattem kedua’. Itu yang kami sekeluarga harapkan daripada penganjur. Ada atau tidak pampasan, banyak atau sikit pampasan yang kami terima daripada insiden ini, kami terima dengan reda.
“Tetapi kami tidak mahu insiden yang berlaku ke atas arwah terjadi kepada orang lain nanti. Mungkin penganjur acara ini atau mana-mana penganjur akan teliti semula prosedur operasi standard (SOP) perlumbaan pada masa hadapan dan perbaikinya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Noor Amalia, keluarganya yang reda dan ikhlas dengan ketentuan takdir itu tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kemalangan meragut nyawa ahli keluarga mereka.
“Pihak penganjur ada melawat kami tengah malam tadi kira-kira pukul 12 tengah malam. Mereka berjumpa dengan ayah dan berbincang. Saya belum mendapat maklumat terperinci lagi tetapi ia antaranya berkaitan pampasan yang ditawarkan,” katanya.
Noor Amalia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Muhammad Hattem termasuk majikan arwah yang sentiasa menjaga kebajikannya sehingga ke hujung nyawa.
“Sehingga hari ini masih ada yang melawat kami dan kebanyakan kami tidak kenal pun. Mereka kenal arwah melalui media sosial dan ada juga orang ramai yang mendengar berita kematian Hattem terus ziarah kami. Alhamdulillah, banyak orang yang sayang arwah,” katanya.
Semalam, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 yang menyebabkan kematian Muhammad Hattem di litar Pekan, Pahang tidak mendapat kelulusan atau diiktiraf sanctioned oleh pihaknya.
Susulan itu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan penganjur terlibat supaya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian yang menimpa Muhammad Hattem. –UTUSAN











