GUA MUSANG: Erti kemerdekaan bukan hanya merujuk kepada bebas daripada belenggu penjajah malah turut melibatkan aspek pemikiran dan tingkah laku individu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, kemerdekaan pemikiran dan tingkah laku merujuk kepada sifat jati diri yang miliki oleh rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada tatasusila bangsa masing-masing.
Katanya, perkara itu mampu menjadi ‘benteng’ kepada individu itu supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir barat yang bercanggah dengan budaya tempatan yang berbilang kaum serta bangsa.
“Pejuang dahulu tidak mengenal erti putus asa berkorban demi mempertahan tanah air tercinta. Sebagai rakyat dan masyarakat yang hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, kita harus berusaha mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan yang dikecapi antara sesama kaum dan bangsa.
“Perkara ini penting kerana ia akan mengekalkan kestabilan dan perpaduan antara kaum dan bangsa seterusnya menjadikan rakyat di negara ini lebih bersatu padu seta kukuh,” katanya semalam.
Seorang penduduk, Chin Qi Yao, 30 pula berkata, dia bersyukur kerana dapat menikmati kemerdekaan dan tinggal di Malaysia yang aman tanpa pergolakan.
“Rakyat harus bersyukur kerana keamanan yang dinikmati hari ini membolehkan negara terus membangun dengan pesat,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Durrah Izzani, 18, berkata, setiap rakyat perlu mempunyai perasaan sayangkan negara dengan nikmat kemerdekaan haruslah sentiasa dipertahankan.
“Hargailah keamanan negara hari ini kerana keamanan orang yang sebelum ini nak mencapai kemerdekaan negara kita memang sukar,” katanya. – UTUSAN











