Dapatan post mortem, tinjauan dalam talian tidak dibentang pada

Dapatan post mortem, tinjauan dalam talian tidak dibentang pada umum

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rangkuman bedah siasat berhubung prestasi terburuk UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas akan dibentangkan bersama dapatan tinjauan kaji selidik dalam talian yang akan bermula dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, semua dapatan berkenaan hanya akan dibentangkan dalam Biro Politik dan tidak akan didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, buat masa ini belum ada tarikh khusus bila semua dapatan tersebut akan dibentangkan.

“Semua itu kita akan bentang dalam mesyuarat Biro Politik dan tidak akan dibentang pada umum. Kita akan buat tidak lama lagi.

“Kita juga akan jalankan survey (tinjauan) dalam talian untuk semua pengundi beri pendapat dan mengapa mereka undi atau tidak mengundi Barisan Nasional (BN). Jadi selepas dapatan tinjauan itu baru kita akan rangkum dan bentang dalam Biro politik dan dipersembahkan kepada UMNO untuk diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pergerakan Pemuda UMNO mengadakan bedah siasat secara tertutup membabitkan Pemuda UMNO bahagian bagi mencari punca kemerosotan sokongan parti itu pada PRN enam negeri, 12 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, tinjauan dalam talian yang dijadualkan pada 23 Ogos terpaksa ditangguhkan.

Katanya, terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum tinjauan berkenaan boleh dilaksanakan.

“Kita sepatutnya dah mula buat dalam masa sehari dua ini tetapi ada beberapa isu kita kena selesaikan. Saya rasa perkara itu boleh selesai dalam tenpoh terdekat ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×