Perkhidmatan pelancongan di Langkawi bertambah baik

Perkhidmatan pelancongan di Langkawi bertambah baik

SEBUAH keluarga bercuti dan mengadakan sambutan hari keluarga di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Stigma perkhidmatan dan makanan mahal yang pernah terpalit pada pulau peranginan ini didapati tidak lagi menjadi satu kerisauan kepada pelancong yang datang meluangkan masa percutian mereka.

Tinjauan di kawasan tumpuan pelancong di Pantai Chenang, di sini sempena cuti persekolahan kali ini mendapati, rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga yang ditawarkan ketika ini.

Seorang pelancong dari Cyberjaya, Nurul Ain Roslan, 35, berkata, dia mendapat tawaran berpatutan daripada hotel yang ditempah sejak enam bulan lalu untuk percutian kali ini.

“Saya bawa kira-kira 70 orang untuk adakan hari keluarga ayah di sini. Walaupun kali terakhir kami ke Langkawi adalah lebih 10 tahun lalu, tetapi saya rasa layanan yang kami terima adalah sangat baik daripada orang-orang di sini.

“Saya tidak sangka banyak pakej yang berpatutan disediakan oleh hotel termasuk makanan sebanyak enam kali sehari dan dewan hotel walaupun hotel ini bukanlah bertaraf mewah,” katanya.

Pelancong dari Kuala Perlis, Rosnita Ismail, 56, turut menyatakan harga makanan yang dinikmatinya lebih murah berbanding kali terakhir dia menjejakkan kaki ke Pantai Chenang.

“Saya rasa dulu makanan di sekitar Pantai Chenang ini lebih mahal tetapi bila berkunjung lagi sekarang rasa lebih murah. Saya sendiri sudah lama tidak ke sini, mungkin lebih enam tahun. Jadi saya rasa maklumat tular harga makanan Langkawi mahal selama ini tidak tepat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai barangan cenderahati, Hanani Aziz, 25, berkata, jumlah pelancong lebih ramai daripada biasa namun keadaan itu biasanya dapat dilihat pada waktu malam.

“Alhamdulillah ada ramai juga pelancong yang lalu-lalang singgah ke kedai, rasalah meriah sedikit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×