KOTA TINGGI: Isu sama ada UMNO boleh mempertimbang untuk bertanding atas logo sendiri pada pilihan raya selepas ini berbanding menggunakan Barisan Nasional (BN) adalah pandangan peribadi.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataannya itu bukan pandangan rasmi UMNO atau BN.
“Ini pandangan saya sebagai ahli UMNO, bukan pandangan rasmi UMNO mahupun pandangan rasmi BN. Saya hanyalah Ketua Penerangan dan saya menekankan bahawa ucapan itu dari mula mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan BN.
“Saya juga menegur ahli parti UMNO yang mana kadangkala bila nak mendapat watikah itu boleh menangis-menangis, berterima kasih dan memuja dan memuji. Saya hanya tegur parti saya sendiri, kalau parti lain terasa saya minta maaf.
“Saya juga mengajak sahabat politik saya bahawa dalam politik ini, dalam pertandingan ada menang ada kalah dan saya mengingatkan mereka dua perkara. Kalau kalah kita perlu muhasabah diri dan perlu bergerak ke depan serta yang keduanya saya memaklumkan tentang cabaran digital.
“Jadi, kalau orang tak baca menyeluruh hanya baca pada bahagian yang terakhir sahaja kemudian mereka menganggap bahawa itu pandangan rasmi UMNO maka itu tak boleh. Dalam perenggan terakhir itu tak ada saya katakan bahawa kita akan beramai-ramai melakukannya, tiada,” katanya selepas melancarkan Semarak Malaysia Merdeka Ke-66 Peringkat Parlimen Pengerang di Dewan Kejora Bandar Penawar, di sini, semalam.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) turut meluahkan rasa terkejut kerana UMNO sebagai parti yang menjunjung amalan demokrasi membenarkan ahlinya memberikan pandangan tetapi perlu pandangan yang betul.
“Kalau setakat nak maki-hamun, itu bukan pandangan. Saya juga melihat sebagai ahli parti UMNO saya menekankan dalam artikel saya bahawa demokrasi ini menjadi keutamaan.
“Jadi, tegur-menegur itu perkara biasa, kalau orang tak suka pada kepimpinan tak suka pada saya itu hak mereka untuk menegur dan saya juga ada hak saya untuk menegur pada sesiapa . Tetapi tak mungkin bila kita nak menulis tiba-tiba banyak orang mempunyai pemikiran yang seolah-olah UMNO nak bergerak ke kanan ataupun ke kiri,” katanya. – UTUSAN








