PETALING JAYA: Sebanyak 36 kumpulan jenayah terancang membabitkan sindiket dadah dan pemilikan senjata api ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh empat tahun sejak 2019.
Antara kumpulan ditumpaskan adalah Geng 21; Geng 04; Geng 36; Geng 24; Geng Jit It Hai; Geng Hong Hong San dan Geng Hup Hoe Tong yang bergerak aktif di Johor manakala Geng Chandra yang terlibat dengan sindiket dadah dan pemilikan senjata api di Pulau Pinang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kesemua kumpulan itu dikesan terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan migrain, sindiket pengedaran dadah dan jenayah berbentuk kekerasan antaranya seperti bunuh, culik, samun berkumpulan dan sebagainya.
“Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa ancaman kegiatan jenayah terancang semakin kompleks, seiring dengan era globalisasi malah tiada negara yang mampu menangani kegiatan ini secara bersendirian tanpa kerjasama dengan negara luar.
“Negara kita telah menandatangani Perjanjian United Nations Convenction Againsts Transnational Organized Crime (UNTOC) selain menubuhkan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) pada 2013 namun dimansuhkan sejak empat tahun lalu.
“Bagaimanapun, ini tidak menghentikan usaha PDRM untuk membanteras dan mengekang sindiket jenayah ini dengan menubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) pada 2019. Dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak 36 kumpulan jenayah terancang berjaya ditumpaskan pasukan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, sebanyak 8,296 individu diberkas dalam Op Cantas yang dijalankan pada 2022 hingga Jun lalu.
INDIVIDU
Kata beliau, jumlah tersebut membabitkan 2,451 individu pada tahun 2022 dan 5,845 orang bermula Januari hingga Jun lalu.
“Bagi tahun ini, tangkapan paling ramai adalah di Selangor iaitu 1,255 orang diikuti Kuala Lumpur (683), Pulau Pinang (511), Sarawak (508), Johor (495) serta Perak (470).
“Selain itu, seramai 355 individu ditahan di Kedah, Kelantan (335), Negeri Sembilan (322), Sabah (311), Pahang (201), Melaka (192), Terengganu (182) dan Perlis iaitu 25 orang,” atanya.
Menurut Razarudin, kesemua tangkapan itu hasil daripada 5,647 serbuan dijalankan iaitu 3,932 operasi sepanjang enam bulan tahun ini manakala 1,715 serbuan pada 2022.
“PDRM serius dan sentiasa komited dalam usaha menangani serta mengekang jenayah kumpulan terancang ini bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin,” katanya.
Pada 26 Julai lalu, akhbar ini melaporkan, PDRM memerlukan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bagi memerangi aktiviti jenayah terancang terutama sindiket perjudian yang semakin berleluasa di negara ini.
Razarudin dilaporkan berkata, akta tersebut diperlukan bagi memudahkan penguatkuasaan memerangai pelbagai jenayah terancang antaranya perjudian yang ketika ini mengaut keuntungan besar. – UTUSAN










