PETALING JAYA: Hari pertama operasi saman ekor dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kelmarin menyaksikan 8,718 kenderaan dikenakan saman kerana memandu melebihi had laju.
Notis saman K170A yang boleh dikompaun RM300 diposkan ke alamat kediaman pemilik kenderaan masing-masing. Operasi tersebut akan dipertingkatkan untuk mendidik pemandu memandu mengikut undang-undang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 8,352 saman dikeluarkan kepada pemilik kereta diikuti motosikal (44) dan 322 saman lagi melibatkan kenderaan perdagangan atau perkhidmatan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, operasi `besar-besaran’ itu bagi mengesan pemandu kenderaan yang memandu melebihi had laju dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurut beliau, anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan.
“Penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.
“Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya di sini semalam.
Kata beliau, kompaun bagi saman tersebut dikompaun RM300 dengan notis saman dipos ke kediaman pemilik kenderaan.
“Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar,” kata beliau. – UTUSAN











