ALOR SETAR: Keperluan seorang Menteri Besar atau setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memegang lebih daripada satu portfolio bertujuan untuk mengimbangi bidang kuasa yang terdapat di peringkat Pusat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, situasi di peringkat kerajaan negeri tidak sama dengan apa yang berada dalam Kerajaan Persekutuan.
Katanya, terdapat juga struktur dalam kerajaan negeri yang tidak wujud di peringkat Persekutuan dan begitu juga sebaliknya yang memerlukan penyelarasan sewajarnya.
“Kenapa seorang Menteri Besar atau Exco pegang banyak portfolio? (Kerana) Kabinet Kerajaan Persekutuan (pada 2022) ada 28 orang dan setiap menteri pegang dua atau tiga portfolio.
“(Tetapi) kabinet negeri cuma 11 orang dan setiap Exco akan pegang banyak portfolio untuk diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan. Faham tak lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, sebentar tadi.
Bagi penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri memegang lapan portfolio.
Antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan; Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu juga bertanggungjawab bagi portfolio Pembangunan Kedah 2035; Kerjasama Luar serta Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains.
Pada majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan Exco Kedah semalam, seramai 10 orang ADUN PN dipilih untuk menerajui portfolio masing-masing setelah gabungan itu menang pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Kedah hanya mengekalkan tiga Exco daripada penggal lalu, manakala lima daripada tujuh Exco baharu pula pertama kali bergelar wakil rakyat di kawasan mereka termasuk bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah dan legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din. –UTUSAN










