10 ADUN Kedah selesai angkat sumpah Exco

10 ADUN Kedah selesai angkat sumpah Exco

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan surat sumpah jawatan kepada Mohd. Azam Abd. Samat pada majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Exco di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit kira-kira pukul 10 pagi ini.

Majlis pelantikan dimulakan dengan upacara mengangkat sumpah oleh ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali diikuti ADUN Sungai Limau, Mohd. Azam Abd. Samat; ADUN Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah; ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dan ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria.

Lima lagi ADUN yang dilantik sebagai exco adalah ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria; ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani; ADUN Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin; ADUN Alor Mengkudu, Muhamad Radhi Mat Din dan ADUN Kulim, Wong Chia Zhen.

Pelantikan itu menyaksikan hanya tiga Exco dikekalkan daripada penggal lalu iaitu Siti Ashah, Halimaton dan Mohamad Yusoff sementara komposisi mengikut parti pula, Pas memiliki tujuh Exco termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diikuti tiga daripada Bersatu dan seorang wakil Gerakan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memegang lapan portfolio di bawahnya iaitu Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan; Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC); Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035; Kerjasama Luar serta Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains.

Siti Ashah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, manakala Mohd. Azam pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan.

Haim Hilman yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Halimaton Shaadiah yang mempertahan DUN Bukit Kayu Hitam terus diberi kepercayaan untuk memegang portfolio sama dengan penggal sebelum ini iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat namun terdapat tambahan portfolio Perpaduan kali ini.

Begitu juga dengan Mohamad Yusoff yang kekali diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air selain tambahan portfolio  Alam Sekitar.

Dalam pada itu, Mansor yang merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kedah diberi amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

Dzowahir pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perladangan dan Pengangkutan; Mohd. Salleh (Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan) manakala Chia Zhen (Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan).

Legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din yang menang di DUN Alor Mengkudu turut diberi peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya