ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan beliau bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini.
Menurutnya, pemilihan tarikh tersebut bersamaan dengan Hari Wukuf yang merupakan salah satu rukun haji terpenting bagi umat Islam.
Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada DUN Kedah akan dibubarkan pada tarikh tersebut atau tidak tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Cadang (bubar DUN) hari wukuf 28 Jun tetapi kena dapat perkenan Tuanku dululah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
DUN Kedah akan terbubar secara automatik pada 4 Julai sekiranya proses pembubaran tidak dilakukan sebelum tarikh itu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, DUN Kedah hanya akan dibubarkan selepas 18 Jun iaitu selepas sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Terdahulu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan, DUN negeri itu akan dibubarkan pada 22 Jun ini.
Menurut Ahmad, pembubaran DUN negeri itu sudah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Pembubaran DUN Kelantan dibuat mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN –UTUSAN









