BENTONG: Penduduk Simpang Pelangai di sini kehilangan permata sekelip mata ekoran pemergian buat selama-lamanya wakil rakyat mereka, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat terhempas mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor.
Rata-rata penduduk ditemui menyifatkan Allahyarham pemimpin berjiwa rakyat yang lahir dari hati nuraninya berikutan layanan saksama dan tidak pilih kasih kepada semua lapisan rakyat di situ.
Seorang penduduk kampung, Hayat, Anuar Mohd. Yusof, 59, berkata, Allahyarham Johari pemimpin kurniaan Allah SWT kepada penduduk Simpang Pelangai dan negeri ini.
“Allahyarham tiada ganti kerana sejak dipilih wakil rakyat menggantikan Tan Sri Adnan Yaakob dan Exco kerajaan negeri berjaya menyediakan 400 unit rumah untuk rakyat.
“Watak Allahyarham begitu pemurah kerana jika membeli produk tani penduduk akan membayar lebih daripada harga asal selain sumbangan peribadi,” katanya di Simpang Pelangai di sini.
Bagi pemilik kedai makan Mak Su, Noratira Othman mengakui turut terkejut kematian tragis Allahyarham Johari yang menjadi pelanggan tetap setiap kali hadir ke Simpang Pelangai.
Menurutnya, kegemaran Allahyarham ialah daging salai, kari kambing dan junggek (kulit lembu) masak lemak ala masakan minang.
“Allahyarham setiap kali ke kedai saya akan membayar semua makanan siapa yang ada ketika itu sambil beramah mesra dengan mereka.
“Dari raut wajahnya yang jernih terpancar wajah keikhlasan dan pemurah tanpa rasa riak dan sombong. Sikap itulah dia disayangi rakyat,” katanya.
Penduduk Simpang Pelangai, Mohd. Qayyum Azim Zainal Abidin, 31, berkata, Allahyarham sudah pun menunjukkan kewibawaan kepemimpinan sebelum bergelar wakil rakyat.
Menurutnya, penduduk kini seolah-olah ‘patah kaki’ apabila wakil rakyat yang menjadi harapan tiada lagi bagi meneruskan legasi pembangunan di Simpang Pelangai.
Tambah beliau, era kemajuan Simpang Pelangai semakin menyerlah sejak Allahyarham terpilih menjadi wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Firdaus M. Fadzilah, 31, berkata, Allahyarham Johari berjaya meletakkan Simpang Pelangai pada landasan pembangunan selari dengan kawasan lain di negeri ini.
“Usaha beliau untuk mendapat jajaran lebuhraya Central Spine Road dari Simpang Karak ke Simpang Pelangai terus ke Kuala Pilih telah mendapat perhatian kerajaan Pusat,” katanya. – UTUSAN










