Bersatu tumpang UMNO - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Bersatu tumpang UMNO – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh berganding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ke­rana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menge­tuai gabungan berkenaan dilihat bergantung sepenuhnya kepada sumbangan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Moha­med mendakwa, sekiranya calon Bersatu terpilih sebagai wakil rakyat, mereka masih bergantung kepada UMNO untuk menjalankan khidmat masyarakat.

Justeru, beliau tetap dengan pendirian UMNO tidak memberi laluan kepada Bersatu dalam pilihan raya umum nanti kerana ia boleh merosakkan peluang UMNO untuk kembali berkuasa di negeri itu.

“Bagaimana calon Bersatu mahu menang apabila kehila­ngan undi asas Pakatan Harapan (PH) yang besar dan memberikan kemenangan pada PRU-14, selepas itu mengharapkan undi daripada UMNO pada PRU-15?

“Lebih baik calon UMNO bertanding. Malah UMNO berpotensi hilang undi orang bukan Melayu kerana pengkhianatan Bersatu kepada PH setahun lepas. Usaha Barisan Nasional (BN) meraih semula undi bukan Melayu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Piai juga terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Nur Jazlan turut tidak bersetuju dengan pandangan bahawa UMNO mesti berganding dengan PN demi kepentingan Melayu Islam kerana saranan tersebut sudah tidak relevan selepas proklamasi darurat serta persepsi negatif rakyat setelh setahun penubuhan PN.

Jumaat lalu, beliau meminta Bersatu supaya tidak bermimpi UMNO Johor akan memberi ruang sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan semua kerusi ditandingi kepada Bersatu kepada PRU-15.

Kenyataannya itu mendapat reaksi berbeza daripada Setiausaha Bersatu Johor, Dr. Sahruddin Jamal yang menggesa Nur Jazlan fokus membantu rakyat di kawasannya.

Kata beliau, pilihan yang ada untuk terus kekal bersama Bersatu tidak menguntungkan, justeru UMNO perlu memikirkan nasib partinya dan langkah terbaik adalah memutuskan jalinan kerjasama dengan Bersatu.

“Dalam masa darurat ini kerajaan parti politik macam PN tergantung. Kerajaan darurat sekarang bukan bersandarkan demokrasi berparlimen. Jadi UMNO sebagai parti politik tidak terikat untuk menyokong kerajaan sekarang selepas darurat dibatalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×