KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dakwaan orang Melayu tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan hanya berpandukan keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) tidak tepat.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, analisis sebegitu tidak terpakai kerana hanya fokus kepada enam negeri dengan tiga negeri diketahui merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN).
Kata, ia tidak mengambil kira sokongan Melayu di negeri-negeri lain serta sokongan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Untuk mendakwa orang Melayu tidak bersama Kerajaan Perpaduan berdasarkan keputusan enam PRN itu adalah ‘analisis songsang’. Walaupun di Selangor kita lihat keputusan yang memeranjatkan tetapi di Negeri Sembilan masih kukuh.
“Ia menunjukkan masih ramai orang Melayu bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Amanah Negeri di sini, semalam.
Khalid berkata, keputusan itu juga tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk segelintir ahli BN menuntut pengerusinya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.
Katanya, tuntutan sebegitu tidak boleh dibuat berdasarkan keputusan di enam negeri sahaja tetapi perlu melihat kepada keseluruhan kerana mungkin di negeri-negeri lain sokongan kepada BN masih mantap.
“Jadi sebaiknya kita tunggu dan lihat sehinggalah ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), barulah kita buat satu analisis yang lebih mantap. Sebelum itu konsep dan fahaman politik yang wajib bagi umat Islam perlu kita perjelaskan.
“Soal pembangunan merupakan satu kewajipan ke atas kerajaan dan kalau tidak ditunaikan sememangnya pemerintah itu perlu diganti sama ada parti itu membawa nama Islam atau tidak,” tegasnya.
Katanya, gabungan kerjasama PH-BN masih baharu dan PRN kelmarin merupakan ujian sulung buat blok itu selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
“Masih ramai tidak menjiwai gandingan ini sepenuhnya dan mungkin apa yang disuarakan oleh Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad merupakan salah satu contoh.
“Gandingan ini perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Hakikatnya kerjasama PH-BN merupakan kerjasama jujur untuk jangkamasa panjang. Ia bukan shotgun marriage untuk PRN semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN











