Lebih 85% dijangka keluar mengundi

Lebih 85% dijangka keluar mengundi

PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat menjalankan pemeriksaan semasa proses semakan peralatan dan peti undi dan serta serahan peralatan kepada petugas SPR sempena Pilihan Raya Negeri Selangor bagi DUN N.26 Sungai Ramal ketika tinjauan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi di sini semalam. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini melebihi 85 peratus.

Seramai 9,674,456 orang pengundi yang bakal mengundi dalam PRN kali ini yang turut diadakan serentak bagi Parlimen Kuala Terengganu iaitu seramai 122,160 orang pengundi.

Sebanyak 3,190 pusat me­ngundi dan 17,048 tempat me­ngundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian melibatkan 153,760 orang petugas di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan termasuk 1,995 orang petugas bagi Parlimen Kuala Terengganu di 41 buah pusat mengundi yang mengan­dungi 217 tempat mengundi.

KEPIMPINAN

Mereka bakal mengundi bagi memilih kepimpinan kerajaan negeri baharu melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 kerusi DUN Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 kerusi DUN Selangor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, usa­ha menggalakkan pengundi ke­luar menunaikan tanggungjawab adalah kerjasama semua pihak termasuk media.

Peratusan keluar mengundi awal pada 8 Ogos lalu yang direkodkan mencapai purata 95 peratus atau sebanyak 72,554 orang di semua enam negeri itu juga memberi gambaran positif jumlah pemilih yang akan turut turun menunaikan tanggungjawab .

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, peratusan bagi pengundian Parlimen merekodkan berjumlah 73.89 peratus.

AWAL

Abdul Ghani berkata, SPR menjangkakan keputusan boleh diumumkan lebih awal berbanding dengan pengumuman keputusan pilihan raya sebelum ini selaras dengan penambaikan kepada sistem pengurusan pilihan raya.

Namun, katanya, segalanya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa yang berlaku pada hari tersebut.

Terdahulu, SPR mengingat­kan semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut jadual masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Bagaimanapun, pengundi ma­sih boleh keluar mengundi me­ngikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan. Pe­ngundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Para majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada masa sama, SPR mela­rang penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran), namun menetapkan telefon bimbit perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×